KUCHING: Menteri Kesihatan Malaysia, Dr.Dzulkefly Ahmad melahirkan rasa dukacita apabila menerima laporan awal berhubung insiden sebuah helikopter Perkhidmatan Doktor Udara Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM) yang dilaporkan terhempas pada petang ini.
Menurutnya, berdasarkan maklumat awal, penerbangan yang berlepas dari Miri dikendalikan seorang juruterbang.
Selain juruterbang, turut berada dalam helikopter itu ialah empat petugas kesihatan KKM iaitu seorang Pegawai Perubatan, seorang Penolong Pegawai Perubatan (PPP) dan dua jururawat yang sedang dalam tugas rasmi.
Katanya, setakat ini, status kesemua krew dan penumpang serta punca kejadian masih belum dapat dipastikan.
“Pasukan mencari dan menyelamat (SAR) bersama pihak perubatan dan Jabatan Bomba dan Penyelamat (JBPM) berada di lokasi kejadian berhampiran Lapangan Terbang (STOLport) Long Lellang, Sarawak dan operasi giat dijalankan,” ujarnya menerusi kenyataan petang ini.
Katanya, KKM sedang memantau situasi dengan sangat rapi dan bekerjasama rapat dengan pihak berkuasa keselamatan, pasukan penyelamat serta agensi penerbangan berkaitan bagi mendapatkan maklumat tepat dan terkini dari lokasi kejadian.
“Pada masa sama, pihak kementerian sedang dalam proses menghubungi waris serta ahli keluarga mangsa yang terlibat bagi memberikan sokongan sewajarnya,” jelasnya.
Memandangkan operasi SAR masih berjalan, beliau memohon kerjasama pihak media dan orang awam agar tidak membuat sebarang spekulasi atau menyebarkan maklumat yang tidak sahih demi menghormati perasaan ahli keluarga mangsa.
“Sebarang perkembangan lanjut akan dimaklumkan dari semasa ke semasa setelah mendapat pengesahan rasmi daripada pihak berkuasa. Sama-sama kita doakan agar segala urusan pencarian dan menyelamat dipermudahkan,” katanya.
