MANILA: Premier Sarawak, Datuk Patinggi Tan Sri Abang Johari Tun Openg tiba di sini hari ini bagi memulakan lawatan kerja rasmi ke Asian Development Bank (ADB).
Beliau mengetuai delegasi Sarawak yang terdiri daripada pegawai kanan kerajaan negeri serta wakil beberapa agensi dan entiti strategik negeri, termasuk Bank Pembangunan Sarawak (DBOS), Sarawak Energy Berhad dan Petroleum Sarawak Berhad (PETROS).
Antara yang menyertai delegasi ialah Pemangku Setiausaha Kerajaan Sarawak Dato Sri Dr. Wan Lizozman Wan Omar, Timbalan Menteri Utiliti Sarawak (Sarawak Energy dan PETROS) Datuk Ibrahim Baki, Ketua Pegawai Eksekutif Kumpulan Sarawak Energy Datuk Sharbini Suhaili serta Ketua Pegawai Eksekutif DBOS Datuk Laura Lee Ngion Hion, selain beberapa kenamaan yang lain.
Sejurus tiba, Abang Johari menghadiri majlis minum petang bersama delegasi, diikuti majlis makan malam dan sesi taklimat pada sebelah malam.
Pada Selasa, beliau dijadual mengadakan pertemuan persendirian bersama Presiden ADB, diikuti mesyuarat bersama Lembaga Pengarah ADB serta sesi fireside chat bersama ADB.
ADB merupakan institusi kewangan pembangunan multilateral yang menyokong pembangunan ekonomi dan sosial di rantau Asia dan Pasifik melalui pembiayaan, bantuan teknikal serta khidmat nasihat. – UKAS
