Kerjasama strategik ADB pacu projek pembangunan, industri tenaga Sarawak

MANILA: Kerjasama strategik bersama Bank Pembangunan Asia (ADB) penting bagi menyokong usaha Sarawak merealisasikan projek pembangunan berskala besar, khususnya dalam sektor tenaga, teknologi dan pembangunan rendah karbon.

Premier Sarawak, Datuk Patinggi Tan Sri Abang Johari Tun Openg berkata, kerjasama itu membolehkan idea serta teknologi baharu diterjemahkan kepada projek yang berdaya maju menerusi sokongan kepakaran, teknologi dan pembiayaan yang kompetitif.

Menurut beliau, pelaksanaan projek berskala besar bukan sesuatu yang mudah kerana memerlukan perancangan teliti, keyakinan pihak berkepentingan serta penyelesaian terhadap aspek kos dan pembiayaan.

“Apabila kita melaksanakan idea baharu, ia tidak mudah. Kita perlu meyakinkan pihak berkepentingan dan persoalan seterusnya ialah kos,” katanya dalam sesi Fireside Chat bersama ADB di Multifunction Hall, Ibu Pejabat ADB di sini, hari ini.

Katanya, kerjasama berterusan dengan ADB penting bagi memastikan setiap projek yang dilaksanakan mempunyai asas ekonomi dan teknologi yang kukuh, selain berdaya maju dari segi pembiayaan.

Dalam menentukan hala tuju pembangunan, Abang Johari memberitahu, Sarawak kini semakin selektif dalam memilih industri yang mahu dibawa masuk dengan mengambil kira nilai tambah kepada ekonomi negeri.

Beliau memberi contoh industri pusat data yang perlu dinilai bukan sekadar berdasarkan jumlah pelaburan, tetapi juga dari peluang pekerjaan, penggunaan tenaga serta daya tahan teknologi dalam jangka panjang.

“Pusat data hanya seperti gudang yang menyimpan data. Dari segi penciptaan pekerjaan, saya rasa ia tidak begitu banyak,” jelasnya.

Abang Johari menyatakan Sarawak perlu memberi tumpuan kepada industri masa depan yang mempunyai potensi perkembangan teknologi, bukan hanya berdasarkan keperluan semasa.

Melangkah ke masa depan, Premier menegaskan teknologi baharu menjadi kunci utama dalam mencorakkan masa depan pembangunan negeri, termasuk keputusan menggunakan teknologi hidrogen bagi sistem pengangkutan awam Transit Aliran Autonomi (ART).

Menurut beliau, meskipun teknologi baharu lazimnya melibatkan kos tinggi pada peringkat awal, kos berkenaan berpotensi menurun seiring perkembangan teknologi dan peningkatan kecekapan.

“Hidrogen memang mahal pada masa ini, tetapi mungkin ada teknologi baharu yang akan mengurangkan kos menghasilkan hidrogen,” jelasnya.

Tambah Abang Johari, pembangunan Sarawak perlu dilaksanakan secara seimbang dengan mengambil kira pertumbuhan ekonomi, kepentingan rakyat dan kelestarian alam sekitar.

Hadir sama Duta Besar Malaysia ke Filipina, Dato’ Abdul Malik Melvin Castelino Anthony, Naib Presiden (Penyelesaian Pasaran) ADB, Bhargav Dasgupta, Ketua Pengarah Southeast Asia Regional Department (SERD), Nianshan Zhang, Pemangku Setiausaha Kerajaan Sarawak, Dato Sri Dr. Wan Lizozman Wan Omar dan Timbalan Menteri Utiliti (Sarawak Energy Berhad (SEB) & Petroleum Sarawak Berhad (PETROS) Datuk Ibrahim Baki. – UKAS