Waris Dr Ainul tiba di Miri

MIRI: Waris Doktor Ainul Baroah Kamarudin yang terlibat nahas helikopter Perkhidmatan Doktor Udara (FDS) tiba di Lapangan Terbang Miri di sini, pada 1.10 petang bagi membantu urusan pengesahan identiti mangsa.

Bapa Dr Ainul, Kamarudin Salleh, 69, bersama isterinya, Rogayah Mohd Noor, 69, dan anak sulung, Ainul Husna, 40, tiba selepas berlepas dari Lapangan Terbang Antarabangsa Kuala Lumpur (LTAK) Terminal 2 pada pagi tadi.

Dalam perkembangan berkaitan, UKAS dalam laporannya berkata, pihak berkuasa masih meneruskan urusan berkaitan mangsa termasuk proses pengesahan identiti serta siasatan lanjut berhubung kejadian tersebut.

Pesuruhjaya Polis Sarawak, Datuk Mohamad Zainal Abdullah dijangka mengadakan sidang media pada 4.30 petang ini di Lapangan Terbang Miri.

Helikopter jenis BO-105 yang menjalankan perkhidmatan FDS dilaporkan terhempas berhampiran STOLport Long Lellang, Ulu Baram pada petang Selasa.

Pesawat berkenaan membawa lima individu terdiri daripada seorang juruterbang dan empat petugas Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM).

Urusan pengesahan identiti serta siasatan kejadian kini sedang dijalankan pihak berkuasa.