KUCHING: Kajian Semula Persempadanan Sarawak berpotensi dimuktamadkan lebih awal daripada tempoh maksimum dua tahun, sekiranya setiap peringkat proses yang ditetapkan dapat dilaksanakan tanpa sebarang halangan.
Pengarah Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR) Sarawak Abang Noraffian Abang Ibrahim berkata, tempoh dua tahun berkenaan bermula dari tarikh notis syor KSP diwartakan pada 1 September lalu.
Menurutnya, bagaimanapun, SPR tidak dapat menetapkan tempoh sebenar penyelesaian kerana proses itu perlu melalui semua peringkat yang diperuntukkan di bawah Perlembagaan Persekutuan.
“Tidak mustahil proses itu dapat diselesaikan lebih awal daripada dua tahun, tetapi kita tidak dapat menjangkakannya kerana perlu mengikuti semua peringkat dan proses yang ditetapkan,” katanya.
Beliau berkata demikian ketika ditemui selepas Program Penerangan Semula Sempadan Sarawak anjuran Persatuan Pemangkin Daya Masyarakat (ROSE), di sebuah hotel di sini, malam tadi.
Beliau berkata, antara peringkat yang perlu dilalui termasuk proses pameran, penerimaan representasi dan siasatan tempatan sebelum kajian berkenaan dapat dimuktamadkan.
Sementara itu, Abang Noraffian berkata, SPR Sarawak setakat 8 September lalu masih belum menerima sebarang representasi atau bantahan lengkap secara manual berkaitan cadangan penambahan 17 kerusi baharu Dewan Undangan Negeri (DUN) Sarawak.
Katanya, satu draf representasi diterima menerusi portal MySPR daripada Bahagian Sibu, namun ia masih belum lengkap dan SPR kini menunggu pihak berkenaan mengemukakan maklumat yang diperlukan.
