TYT, Toh Puan rakam takziah atas pemergian lima mangsa nahas helikopter

KUCHING: Yang di-Pertua Negeri Sarawak, Tun Pehin Sri Dr Wan Junaidi Tuanku Jaafar dan Toh Puan Datuk Patinggi Fauziah Mohd Sanusi berasa amat dukacita dan sedih setelah menerima perkhabaran mengenai pemergian lima individu dalam nahas helikopter Perkhidmatan Doktor Udara di Long Lellang, Baram.

Tun Pehin Sri dan Toh Puan merakamkan salam takziah dan rasa simpati yang sedalam-dalamnya kepada seluruh ahli keluarga serta insan tersayang lima mangsa yang terkorban, iaitu Kapten Zainol, Dr Ainul, PPP Alexson Adit, SN Debra Moset dan SN Jessie Paya.

Kehilangan mereka amat dirasai, lebih-lebih lagi apabila empat daripada mangsa merupakan petugas kesihatan yang sedang melaksanakan amanah membawa perkhidmatan kesihatan kepada masyarakat di kawasan pedalaman Sarawak.

Sesungguhnya, tugas yang mereka laksanakan menerusi Perkhidmatan Doktor Udara merupakan satu khidmat yang amat besar nilainya kepada rakyat Sarawak, khususnya masyarakat pedalaman yang bergantung kepada perkhidmatan tersebut untuk mendapatkan rawatan dan penjagaan kesihatan.

Pengorbanan dan khidmat bakti mereka akan sentiasa dikenang. Mereka pergi ketika sedang melaksanakan tanggungjawab dan amanah demi memberikan bantuan serta perkhidmatan kepada masyarakat memerlukan.

Dalam saat yang amat memilukan ini, Tun Pehin Sri dan Toh Puan mendoakan agar seluruh ahli keluarga mangsa diberikan kekuatan, ketabahan dan kesabaran dalam menghadapi kehilangan insan tersayang.

Tun Pehin Sri dan Toh Puan turut merakamkan penghargaan kepada semua anggota keselamatan, pasukan Bomba dan Penyelamat, petugas kesihatan, pihak berkuasa serta masyarakat yang terlibat dalam operasi di lokasi kejadian.

Bagi mangsa yang beragama Islam, semoga Allah SWT mencucuri rahmat ke atas roh mereka dan menempatkan mereka dalam kalangan orang yang beriman dan beramal soleh. Bagi mangsa yang bukan beragama Islam, semoga roh mereka bersemadi dengan aman.

Salam takziah kepada seluruh keluarga mangsa. Sarawak turut berdukacita atas kehilangan lima insan yang telah mencurahkan khidmat dan bakti kepada masyarakat. – Astana Negeri Sarawak