Fadillah kembali bertugas, hadiri mesyuarat kabinet

KUCHING: Timbalan Perdana Menteri, Datuk Amar Fadillah Yusof kembali menghadiri Mesyuarat Jemaah Menteri di Kuala Lumpur, hari ini selepas menjalani pembedahan pintasan jantung dan berehat sepanjang cuti sakit.

Dalam kenyataan Fadillah di media sosial, beliau melahirkan rasa syukur kerana dapat kembali bersama rakan-rakan Kabinet dalam mesyuarat yang berlangsung di Putrajaya.

Pada masa sama, beliau turut merakamkan penghargaan kepada Perdana Menteri, Dato’ Seri Anwar Ibrahim serta seluruh anggota Jemaah Menteri atas keprihatinan, doa dan sokongan yang diberikan sepanjang tempoh rawatannya.

Beliau turut mendoakan agar semua dikurniakan kesihatan dan kesejahteraan berpanjangan serta dapat terus melaksanakan amanah yang diberikan dengan sebaiknya.