KUCHING: Sarawak Energy membuat laporan polis terhadap satu komen di media sosial yang mengandungi bahasa berunsur ugutan terhadap syarikat itu baru-baru ini.
Menurut kenyataan Sarawak Energy, ini termasuk apa yang kelihatan seperti seruan kepada individu atau kumpulan untuk berkumpul di premis syarikat dan melakukan tindakan yang berpotensi ganas atau berbahaya, termasuk merujuk kepada bahan berbahaya.
“Laporan polis telah dibuat dan perkara itu turut dirujuk kepada Suruhanjaya Komunikasi dan Multimedia Malaysia (MCMC). Kes tersebut kini sedang dalam siasatan,” menurut Sarawak Energy.
Syarikat itu juga menegaskan menghormati hak setiap individu untuk menyuarakan pandangan dan mengemukakan kebimbangan secara sah.
“Bagaimanapun, sebarang kenyataan yang berpotensi mengancam keselamatan awam akan dipandang serius. Keselamatan dan sekuriti pekerja, pelanggan, pengunjung serta orang awam kekal menjadi keutamaan,” jelas syarikat itu.
Sarawak Energy juga terus bekerjasama dengan pelanggan bagi menangani dan menyelesaikan kebimbangan berkaitan bil serta perkhidmatan elektrik, termasuk memberikan penjelasan dan bantuan berdasarkan semakan terhadap akaun individu.
Menurutnya, sebagai sebahagian usaha tersebut, kaunter perkhidmatan pelanggan khas disediakan sepanjang September di Wisma SESCO, Kuching dan turut diperluaskan ke Sibu, Bintulu dan Miri.
“Pelanggan dialu-alukan untuk bertemu secara bersemuka dengan pasukan perkhidmatan pelanggan kami bagi membolehkan akaun mereka disemak serta perkara berkaitan bil diterangkan dengan jelas,” tambahnya.
Pelanggan juga boleh menghubungi Pusat Khidmat Pelanggan Sarawak Energy di talian 1300-88-3111.
