LAWAS: Perkhidmatan doktor udara masih diperlukan di Sarawak kerana merupakan talian hayat kepada penduduk di pedalaman, kata Timbalan Premier Sarawak, Datuk Amar Awang Tengah Ali Hasan.
Katanya, perkhidmatan itu sangat penting bagi memberi rawatan kesihatan dan membawa pesakit semasa kecemasan yang diterbangkan ke hospital berdekatan.
“Perkhidmatan doktor udara masih diperlukan walaupun beberapa perkampungan akan dihubung dengan laluan jalan raya perhubungan Sabah-Sarawak (SSLR),” katanya.
Beliau berkata demikian selepas lawatan kerja ke Pusat Maklumat Pelancongan di Kampung Paterikan di Merapok Laut di sini, hari ini.
Awang Tengah dalam pada itu turut menzahirkan rasa sedih serta mengucapkan takziah kepada semua ahli keluarga mangsa helikopter terhempas di Long Lellang, Baram semalam.
“Saya amat terharu atas kehilangan petugas kesihatan yang berkhidmat dalam perkhidmatan doktor udara di pedalaman utara Sarawak itu,” katanya.
Beliau sehubungan itu meminta orang ramai tidak membuat spekulasi mengenai nahas itu.
Hadir sama Ahli Parlimen Lawas, Dato Henry Sum Agong, Residen Bahagian Limbang Yunus Tambi, Setiausaha Politik kepada Premier Sarawak Awangku Jinal Abedin Dato Pengiran Jawa, Pegawai Daerah Lawas Ladin Atok.
