MIRI: Kelima-lima mangsa nahas helikopter Perkhidmatan Doktor Udara (FDS) di Long Lellang, Baram, semalam dikenal pasti berdasarkan barangan peribadi yang ditemukan pada jasad mangsa.
Pesuruhjaya Polis Sarawak, Datuk Mohamad Zainal Abdullah berkata, bagaimanapun, pengecaman rasmi kelima-lima mangsa akan dibuat melalui ujian sampel DNA.
Menurutnya, semua jenazah mangsa akan diterbangkan ke Hospital Miri untuk proses bedah siasat dan ujian DNA.
“Lima mangsa terbabit ialah juruterbang Kapten Zainol Afiq Bee Sham, 30, pegawai perubatan Dr Ainul Baraah Kamaruddin, 33, penolong pegawai perubatan Alexson Adit Henry, 31, serta dua jururawat telatih, Debra Moset, 40, dan Jessie Paya Jok, 44,” katanya pada sidang media petang ini.
Beliau berkata, pihak berkuasa menerima maklumat mengenai kemalangan helikopter berdaftar 9M-LLF yang dipercayai terhempas di kawasan Long Lellang pada kira-kira jam 3.40 petang, 8 September.
Katanya, berdasarkan maklumat awal, helikopter berkenaan berlepas dari Miri pada jam 10.21 pagi sebelum mendarat di Ba’ Lai pada jam 11.39 pagi bagi melaksanakan tugasan FDS.
“Helikopter berkenaan kemudiannya berlepas menuju ke Long Siut, Selungo pada jam 1.41 petang dan mendarat di Long Siut pada jam 1.50 petang bagi tujuan mengisi minyak.
“Pada kira-kira jam 3.21 petang, helikopter dipercayai mengalami kemalangan ketika hendak mendarat di landasan terbang Long Lellang dan terhempas di hujung landasan tersebut,” katanya.
Mohamad Zainal berkata, tujuan penerbangan ke Long Lellang untuk bermalam sebelum meneruskan penerbangan bagi penugasan FDS di Tanjong Durian pada 9 September.
Susulan kejadian itu, katanya, Pusat Operasi Kecemasan (EOC) diaktifkan di Lapangan Terbang Miri, manakala pasukan keselamatan dan agensi berkaitan digerakkan ke lokasi untuk menjalankan operasi mencari dan menyelamat (SAR), pengesahan keadaan mangsa serta tindakan lanjut.
Menurutnya, seramai 67 anggota daripada pelbagai agensi terlibat dalam operasi berkenaan, termasuk Polis Diraja Malaysia (PDRM), Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia (JBPM), Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM), Malaysia Airports Holdings Berhad (MAHB), Layang-Layang Aerospace, Angkatan Pertahanan Awam Malaysia (JPAM), Pasukan Gerakan Am (PGA) dan Rela.
Beliau berkata, operasi turut membabitkan bantuan logistik terdiri daripada empat pesawat dan lima kenderaan pacuan empat roda.
“Siasatan di tempat kejadian dijalankan bersama pasukan forensik JSJ IPK Sarawak serta pasukan SAR, bomba dan penyelamat Zon Miri (STORM).
“Kesemua lima mangsa ditemukan di dalam bangkai helikopter yang terhempas dan terbakar,” ujarnya.
Mohamad Zainal berkata, helikopter model BO-105 S (CBS 5) keluaran 1991 dan buatan Jerman itu digunakan bagi membawa petugas KKM di Sarawak selama 17 tahun sejak 2009.
Katanya, sepanjang tempoh berkenaan, helikopter itu digunakan untuk menyokong keperluan perkhidmatan kesihatan di beberapa kawasan di Sarawak, khususnya Miri, Bintulu, Limbang, Marudi dan Bario.
