Pelihara reputasi Kuching sebagai Bandar Gastronomi UNESCO

KUCHING: Penggiat industri makanan perlu menjaga reputasi Kuching sebagai Bandar Kreatif Gastronomi Pertubuhan Pendidikan, Sains dan Kebudayaan Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (UNESCO) menerusi standard tinggi dalam penyediaan makanan dan perkhidmatan.

Timbalan Premier Sarawak merangkap Menteri Kesihatan Awam, Perumahan dan Kerajaan Tempatan Sarawak, Datuk Amar Dr Sim Kui Hian berkata, pengiktirafan itu turut membawa tanggungjawab besar kepada semua pihak.

“Apabila kita mewakili Kuching, kita bukan hanya membawa nama sendiri, tetapi nama Kuching dan Sarawak,” katanya.

Beliau berkata demikian dalam teks ucapan yang dibacakan Datuk Bandar Majlis Bandaraya Kuching Selatan (MBKS), Dato Wee Hong Seng, pada Majlis Makan Malam Amal Ulang Tahun Ketiga Sarawak Gourmet Association, Rainforest Empurau Night, di sini, malam ini.

Menurutnya, aspek kebersihan, keselamatan makanan, persembahan, profesionalisme dan komunikasi perlu diberi perhatian setiap kali penggiat kulinari mewakili Kuching di luar Sarawak.

Beliau berkata, satu kesilapan atau kegagalan mematuhi standard boleh menjejaskan reputasi Kuching, khususnya dalam era media sosial yang membolehkan maklumat tersebar dengan pantas.

“Kita berada di luar Sarawak sebagai satu pasukan yang mewakili Kuching dan Sarawak, bukan berdasarkan persatuan atau individu,” tambahnya.

Dalam pada itu, beliau menggesa chef berpengalaman membimbing bakat muda agar mempunyai kemahiran dan persediaan mencukupi sebelum membawa nama Kuching ke luar negara.

Tema Rainforest Empurau Night turut dilihat mencerminkan kepentingan sumber semula jadi, bahan tempatan dan amalan mendapatkan sumber makanan secara bertanggungjawab serta mampan.

Beliau turut menyifatkan elemen amal pada majlis berkenaan sebagai penting dalam memastikan usaha mempromosikan makanan dan budaya Sarawak turut memberi manfaat kepada komuniti yang memerlukan.