Pemuda Parti PBB: Pertambahan kerusi DUN, Parlimen berbeza

KUCHING: Pergerakan Pemuda Parti Pesaka Bumiputera Bersatu (PBB) Sarawak menyifatkan dakwaan DAPSY Sarawak bahawa penambahan kerusi Dewan Undangan Negeri (DUN) telah “gagal” kerana tidak disertai pertambahan kerusi Parlimen sebagai mengelirukan.

Dalam kenyataan hari ini, Pergerakan Pemuda menegaskan bahawa penambahan kerusi DUN dan kerusi Parlimen merupakan dua proses berbeza.

Menurut pergerakan itu, kerusi DUN berada di bawah bidang kuasa Sarawak melalui pindaan Perlembagaan Negeri, manakala pertambahan kerusi Parlimen perlu dibuat melalui pindaan di peringkat Persekutuan berdasarkan Perkara 46 Perlembagaan Persekutuan dan memerlukan kelulusan Parlimen Malaysia.

“Gabungan Parti Sarawak (GPS) tidak pernah menyatakan pertambahan kerusi DUN akan secara automatik menghasilkan kerusi Parlimen baharu.

“Sebaliknya, penstrukturan semula DUN adalah langkah strategik untuk memastikan kawasan persempadanan semula akan mendapat representasi lebih adil, di samping memperkukuhkan asas tuntutan Sarawak terhadap peningkatan kerusi Parlimen pada masa depan,” kata pergerakan itu.

Pergerakan Pemuda turut menegaskan Sarawak mempunyai asas kukuh untuk menuntut lebih banyak kerusi Parlimen.

“Ketika Malaysia dibentuk pada 1963, gabungan Sabah, Sarawak danSingapura memiliki satu pertiga kerusi Parlimen sebagai semangat perkongsian rakan pengasas,” ujarnya.

Selepas Singapura keluar daripada Malaysia, keseimbangan itu berubah dan sehingga hari ini GPS terus konsisten memperjuangkan pemulihan representasi yang lebih adil selaras dengan semangat MA63.

Menurut Pergerakan Pemuda lagi, DAP sepatutnya menjelaskan pendirian mereka di Parlimen apatah lagidengan kedudukan mereka sebagai sebuah parti dominan dalam kerajaan perpaduan ketika ini.

“Jika benar mereka ikhlas mahu Sarawak memperoleh lebih banyak kerusi Parlimen, adakah Ahli-Ahli Parlimen DAP ada menyuarakan cadangan ini di Parlimen dan bersediakah mereka menyokong pindaan Perlembagaan Persekutuan bagi menambah kerusi Parlimen Sarawak?

“Inilah persoalan sebenar yang perlu dijawab, bukannya memainkan persepsi politik.

“Apa yang pasti, GPS akan terus memperjuangkan hak Sarawak melalui saluran perundangan dan rundingan dengan Kerajaan Persekutuan,” katanya.

Katanya, perjuangan untuk menambah kerusi Parlimen sedang diusahakan melalui Majlis Tindakan Pelaksanaan Perjanjian Malaysia 1963 (MTPMA63) ketika ini dan ia tidak pernah bergantung kepada satu latihan persempadanan
semata-mata.

“Hak Sarawak diperjuangkan dengan fakta dan Perlembagaan, bukan retorik politik seperti yang DAP selalu mainkan hanya untuk mengelirukan rakyat,” tegasnya.