Kemarau panjang jejas bekalan air DUN Kalaka

KUCHING: Musim kemarau berpanjangan serta kesan perubahan iklim menyebabkan beberapa kawasan di Dewan Undangan Negeri (DUN) Kalaka mengalami kekurangan bekalan air.

Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Kalaka, Mohamad Duri berkata, paras sumber air mentah yang rendah turut menjejaskan operasi loji rawatan air, khususnya loji yang membekalkan air kepada beberapa kawasan sekitar Saratok dan Roban.

Jelasnya, Jawatankuasa Pengurusan Bencana Bahagian Betong mengadakan perbincangan bersama beberapa agensi berkaitan bagi menyelaras bantuan kepada penduduk terjejas.

“Semua tuai rumah, ketua kampung dan ketua kaum dimaklumkan supaya kawasan yang mengalami gangguan dapat disenaraikan dan dijadual untuk menerima bekalan air,” katanya.

Beliau berkata demikian kepada media selepas menghadiri majlis doa selamat dan penyerahan sijil halal kepada sebuah kedai makanan di jalan Rubber, di sini, hari ini.

Tambah beliau, Jabatan Bekalan Air Luar Bandar (JBALB) dan Jabatan Kebajikan dan Masyarakat (JKM ) turut akan bekerjasama menghantar air minuman serta bekalan air menggunakan lori tangki ke kawasan yang mengalami tekanan air rendah atau terputus bekalan.

Jelasnya, meskipun masih terdapat air di dalam paip di sesetengah kawasan, alirannya terlalu rendah sehingga tidak mencukupi untuk kegunaan harian penduduk.

Sehubungan itu, ujarnya, bekalan air minuman akan dihantar dalam kuantiti lebih banyak bagi memastikan keperluan asas penduduk terus terjamin sepanjang tempoh kemarau.

“Kita berharap keadaan bekalan air kembali pulih susulan hujan yang mulai turun di beberapa kawasan.

“Penduduk dinasihatkan menggunakan air secara berhemat dan menyimpan bekalan secukupnya,” katanya.