KUCHING: Dua pasukan dari Sarawak mencipta pencapaian membanggakan apabila masing-masing meraih tempat ketiga pada Pertandingan CanSat Roket Malaysia (MRCC) 2026 di Perak.
Sehubungan itu, pasukan itu layak bertanding di Pertandingan CanSat Antarabangsa APRSAF-32 di Thailand.
Pasukan SMK Padungan meraih tempat ketiga dalam kategori 1KM Rocket & CanSat, manakala
Sekolah Seni Malaysia Sarawak menduduki tempat ketiga bagi kategori 1KM Rocket pada peringkat akhir MRCC 2026 .
Pertandingan itu berlangsung dari 8 hingga 10 September di FELCRA Seberang, Perak.
Kedua-dua pasukan tersebut merupakan antara tiga pasukan Sarawak yang mara ke MRCC 2026 selepas muncul sebagai pemenang Sarawak Rocketeers CanSat Challenge (SRC) 2026.
Pasukan SMK Penrissen turut mewakili Sarawak dalam pertandingan peringkat kebangsaan tersebut.
MRCC 2026 yang diterajui oleh Planetarium Negara dan Kementerian Sains, Teknologi dan Inovasi (MOSTI), dengan kerjasama High Energy Material Research Laboratory (HEMREL), Universiti Teknologi MARA (UiTM).
Ia menghimpunkan 650 pelajar daripada 130 pasukan yang berdaftar di seluruh negara.
Daripada jumlah tersebut, 425 pelajar daripada 104 pasukan layak mara ke peringkat akhir dan fasa pelancaran di Pasir Salak, Perak, dengan sokongan 152 mentor akademik.
Sepanjang MRCC 2026, pelajar mengaplikasikan kemahiran melalui pembentangan projek,
persediaan sistem CanSat (Can Satelit), tugasan teknikal dan pelancaran roket, selain mendapat
pengalaman dalam teknologi aeroangkasa bersama pasukan dari Malaysia dan luar negara.
Pencapaian di peringkat kebangsaan ini seterusnya membuka laluan kepada SMK Padungan dan Sekolah Seni Malaysia Sarawak untuk bertanding di APRSAF-32 di Thailand dari 27 hingga 30 Oktober 2026,
Pengerusi Lembaga Amanah TEGAS, yang juga Timbalan Menteri Pembangunan Bandar dan Sumber Asli Sarawak, Datuk Len Talif Salleh berkata, pencapaian kedua-dua pasukan tersebut menunjukkan keberkesanan SRC dalam memberi ruang kepada anak muda untuk
mengembangkan kemahiran dan potensi dalam bidang STEM serta teknologi aeroangkasa.
“Pencapaian ini menunjukkan bahawa apabila anak muda diberikan ruang meneroka dan menguji idea, mereka mampu membawa kemahiran tersebut ke peringkat lebih tinggi.
“TEGAS akan terus menyediakan peluang yang dapat memperkasa bakat tempatan serta
menyokong aspirasi PCDS 2030,” tambah beliau.
