MIRI: Premier Sarawak, Datuk Patinggi Tan Sri Abang Johari Tun Openg mengakui faktor usia menjadi antara perkara yang perlu diambil kira dalam kesinambungan kepimpinan Parti Pesaka Bumiputera Bersatu (PBB).
Abang Johari yang juga Yang di-Pertua Parti PBB berkata, proses latihan kepimpinan dalam parti terus diberi perhatian, khususnya membabitkan golongan muda dan muka baharu.
“Secara semula jadinya memang begitu, kita tidak boleh menentang hukum alam.
“Lagipun, usia saya semakin meningkat,” katanya ketika ditemui media selepas merasmikan Konvensyen Khas Parti PBB Zon Utara di Stadium Tertutup di sini, hari ini.
Menurutnya, proses menyediakan kepimpinan baharu penting bagi memastikan kesinambungan parti dapat diteruskan.
“Dalam parti, kita sememangnya sudah mempunyai latihan kepimpinan, khususnya untuk golongan muda serta muka-muka baharu,” tambahnya.
Abang Johari berkata, pertukaran kepimpinan dalam parti juga berlaku pada setiap pilihan raya termasuk sekurang-kurangnya seorang atau dua wakil.
Usaha meremajakan kepimpinan, katanya, bukan perkara baharu dan telah dilakukan sejak era Yang di-Pertua Negeri Sarawak ketujuh, Allahyarham Tun Pehin Sri Abdul Taib Mahmud serta tokoh awal kepimpinan Sarawak, Tun Abdul Rahman Ya’kub.
