‘Jaga Sarawak, Intu Sarawak’ amanah besar Parti PBB – Awang Tengah

MIRI: Parti Pesaka Bumiputera Bersatu (PBB) perlu menyesuaikan perjuangannya dengan perkembangan semasa bagi memastikan parti itu kekal relevan sebagai institusi yang menjadi harapan rakyat serta Sarawak.

Timbalan Yang di-Pertua PBB, Datuk Amar Awang Tengah Ali Hasan berkata, perubahan politik, geopolitik, ekonomi, teknologi dan iklim menuntut parti itu sentiasa bersedia menghadapi cabaran baharu tanpa mengetepikan asas perjuangannya.

Menurutnya, satu perkara yang tidak berubah ialah komitmen Parti PBB untuk menjaga rakyat serta kepentingan Sarawak.

“Jaga Sarawak bermakna menjaga rakyatnya, menjaga keamanan dan perpaduannya, menjaga tanah, sumber dan kekayaannya serta mempertahankan hak dan kepentingannya.

“Jaga Sarawak juga bermakna memastikan anak cucu kita mewarisi sebuah Sarawak yang lebih maju, lebih kuat dan lebih makmur daripada yang kita warisi hari ini,” katanya dalam ucapan aluan Konvensyen Khas PBB Zon Utara di sini, hari ini.

Premier Sarawak, Datuk Patinggi Tan Sri Abang Johari Tun Openg merasmikan konvensyen khas tersebut.

Awang Tengah yang juga Pengerusi Jawatankuasa Induk Konvensyen Khas Zon Utara berkata, perjalanan panjang parti dibina atas asas yang kukuh.

Ini hasil sumbangan pemimpin terdahulu dan veteran parti, namun pemimpin serta generasi baharu perlu meneruskan perjuangan itu selaras dengan perubahan zaman, katanya.

“Perpaduan merupakan antara aset terbesar Sarawak, pendekatan inklusif perlu terus diperkukuh dalam pembangunan wilayah Sarawak,” ujarnya.

Menyentuh persediaan menghadapi pilihan raya, Awang Tengah berkata, jentera Parti PBB perlu sentiasa berada dalam keadaan siap siaga, selain meningkatkan usaha memberikan penerangan kepada rakyat bagi menangkis fitnah dan manipulasi yang tersebar melalui media sosial.

Katanya, parti tunjang Kerajaan Sarawak dan Gabungan Parti Sarawak (GPS) itu perlu bergerak sebagai satu pasukan dan perjuangan bersama parti komponen GPS bagi memastikan gabungan itu terus kukuh.

“Tidak ada satu kaum yang boleh memerintah secara sendiri melainkan kita bekerjasama. Inilah pendirian Parti PBB,” tegasnya.

“Parti PBB harus menang. Parti PBB adalah kekuatan, Parti PBB adalah harapan, Parti PBB adalah pejuang kepada rakyat dan Parti PBB adalah masa depan Sarawak.

“Jaga Sarawak, Intu Sarawak,” katanya lagi.