MIRI: Keyakinan rakyat terhadap Gabungan Parti Sarawak (GPS) perlu terus dipelihara dan diperkukuhkan dengan rekod pencapaian Kerajaan Sarawak sepanjang lima tahun lalu.
Timbalan Yang di-Pertua Parti Pesaka Bumiputera Bersatu (PBB), Datuk Amar Douglas Uggah Embas, berkata keyakinan yang diberikan rakyat bukan sekadar sokongan politik, sebaliknya amanah yang perlu dijaga menerusi prestasi dan khidmat berterusan.
Beliau yang juga Timbalan Premier berkata, seluruh kepimpinan dan anggota parti terutama di peringkat akar umbi memainkan peranan bagi memastikan rakyat mengetahui pelbagai usaha pembangunan.
“Keyakinan rakyat terhadap GPS perlu kita pelihara. Apa yang dilaksanakan kerajaan perlu diterangkan kepada rakyat supaya mereka mengetahui usaha yang dilakukan,” katanya.
Beliau berkata demikian pada Jamuan Makan Malam Delegasi Parti PBB Telang Usan sempena Konvensyen Khas Parti PBB Zon Utara 2026 di sini, malam tadi.
Sehubungan itu, Uggah menggesa kepimpinan dan ahli Cawangan Telang Usan supaya memantapkan gerak kerja di akar umbi bagi memastikan calon GPS memperoleh kemenangan pada Pilihan Raya Negeri Sarawak Ke-13 (PRN13).
Katanya, pembangunan di Telang Usan perlu diberi perhatian menerusi pelaksanaan pelbagai projek.
Uggah turut menyentuh peruntukan RM1.5 bilion menerusi Agensi Pembangunan Tanah Tinggi (HDA) bagi menyokong pembangunan kawasan tanah tinggi, termasuk Telang Usan.
Beliau berkata peruntukan berkenaan mencerminkan kesungguhan Kerajaan Sarawak memastikan kawasan pedalaman turut menikmati pembangunan dan tidak tercicir daripada arus kemajuan negeri.
Beliau merakamkan penghargaan kepada Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Telang Usan, Dato Dennis Ngau, atas komitmen membawa lebih banyak pembangunan ke kawasan berkenaan.
Turut hadir Setiausaha Agung parti, Dato Sri Alexander Nanta Linggi.
