SARIKEI: Bantuan bersesuaian sedang diteliti untuk keluarga yang mengalami kerosakan kediaman selepas rumah mereka dilanda ribut dan hujan lebat di beberapa kawasan di sini, hari ini.
Timbalan Menteri Perancangan Bandar, Pentadbiran Tanah dan Alam Sekitar, Datuk Len Talif berkata berkata ini termasuk Kampung Jalan Drahman Keria dan Kampung Dibah.
Katanya, sebahagian besar kerosakan membabitkan bahagian bumbung rumah yang diterbangkan angin, namun beliau bersyukur kerana kesemua penghuni terbabit dilaporkan selamat.
“Keutamaan sekarang ialah memastikan keluarga yang terjejas mendapat bantuan sewajarnya supaya kerosakan pada kediaman mereka dapat ditangani,” katanya ketika dihubungi.
Len Talif yang juga Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Kuala Rajang berkata antara bantuan itu termasuk menggunakan peruntukan projek rumah orang miskin bagi membolehkan kerja pembaikan dilaksanakan terhadap rumah yang terjejas.
Beliau juga berharap mangsa bersabar dan tabah berdepan kejadian berkenaan, sementara penilaian kerosakan serta tindakan susulan bagi menyalurkan bantuan kepada mereka dilaksanakan.
