Penyediaan kemudahan kesihatan Sarawak perlu diberi perhatian

LAWAS: Pihak pelaksana di peringkat Persekutuan harus memberi perhatian terhadap penyediaan kemudahan kesihatan di Sarawak, kata Timbalan Premier Sarawak, Datuk Amar Awang Tengah Ali Hasan.

Beliau berkata, ini terutama mengambil kira faktor geografi dan cabaran pembangunan di negeri ini.

“Kelewatan pelaksanaan projek kesihatan terdahulu bukan sahaja melibatkan peningkatan kos, malah menjejaskan harapan rakyat untuk menikmati kemudahan dan perkhidmatan yang lebih baik,” katanya.

Menurutnya, pendekatan seragam tidak boleh digunakan sepenuhnya dalam merancang projek kemudahan kesihatan di Sarawak kerana setiap daerah mempunyai keperluan dan cabaran berbeza.

“Lawas, Kapit, Baram, Long Lama, Ba’Kelalan, Long Semadoh dan Bario mempunyai keperluan berbeza. Pendekatan berdasarkan keseragaman semata-mata tidak boleh dilaksanakan,” katanya.

Beliau berkata demikian pada majlis penyerahan Projek Hospital Lawas daripada Kementerian Kerja Raya Malaysia (KKR) kepada Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM) di bangunan baharu Hospital Lawas, hari ini.

Hadir sama, Menteri Kerja Raya, Dato’ Sri Alexander Nanta Linggi, Timbalan Menteri Kesihatan, Dato’ Hanifah Hajar Taib dan Timbalan Menteri Pengangkutan, Datuk Hasbi Habibollah serta Ahli Parlimen Lawas, Dato Henry Sum Agong.

Sehubungan itu, Awang Tengah turut berharap kemudahan kesihatan di Sarawak terus diberi perhatian khusus dan tidak hanya tertumpu kepada kajian serta perancangan di Putrajaya.