MUKAH: Semangat patriotisme dan tanggungjawab rakyat perlu diterjemahkan melalui tindakan seharian bagi memastikan keharmonian masyarakat terus dipelihara.
Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Balingian, Abdul Yakub Arbi berkata, patriotisme bukan sekadar ditunjukkan ketika sambutan Bulan Kebangsaan atau Hari Malaysia, sebaliknya perlu diamalkan dalam kehidupan seharian.
“Sikap patriotisme perlu diamalkan melalui sikap menghormati undang-undang, menjaga keharmonian serta menghormati kepelbagaian agama dan budaya,” katanya.
Beliau berkata demikian ketika berucap pada Majlis Perasmian Pameran Mini Hari Malaysia 2026 Peringkat Bahagian Mukah di Lobi Pusat Pentadbiran Kerajaan Sarawak (Bahagian Mukah), di sini hari ini.
Abdul Yakub menggesa masyarakat Mukah supaya menghidupkan semangat cintakan negara dengan mengibarkan Jalur Gemilang dan bendera Sarawak di rumah, premis perniagaan, pejabat serta lokasi yang bersesuaian.
Katanya, penghayatan Hari Malaysia bukan sekadar berbentuk perayaan, sebaliknya menjadi kesempatan untuk memahami sejarah pembentukan Malaysia, menghargai kepelbagaian serta mengukuhkan semangat kebersamaan sebagai sebuah negara berdaulat.
Sementara itu, ADUN Tellian, Royston Valentine berkata, dalam era kecanggihan teknologi kecerdasan buatan (AI), generasi muda perlu mengambil berat mengenai sejarah dan tidak bergantung sepenuhnya kepada maklumat yang diperoleh menerusi teknologi.
Menurutnya, setiap maklumat sejarah yang diperoleh perlu disemak terlebih dahulu bagi memastikan kesahihannya, selain memahami dan menghayati tarikh-tarikh penting dalam sejarah negara.
“Pengetahuan sejarah perlu diperkukuh supaya generasi hari ini terus menghargai perjuangan pemimpin terdahulu dan tidak menjadi generasi yang buta sejarah,” tegasnya. – UKAS
