Kolaborasi PBSMM, Pay & Go Sdn Bhd mudahkan sumbangan kebajikan

KUCHING: Kolaborasi di antara Persatuan Bulan Sabit Malaysia (PBSMM) Bahagian Sarawak dengan Pay & Go Sdn Bhd diharap menjadi titik permulaan pengwujudan perkongsian inovatif untuk manfaat masyarakat.

Menteri Pembangunan Wanita, Kanak-kanak dan Kesejahteraan Komuniti, Dato Sri Fatimah Abdullah berkata, perkongsian inovatif antara kedua-dua entiti itu membolehkan orang ramai menderma untuk tujuan projek kemasyarakatan dan kebajikan dengan lebih mudah.

Walaupun tidak mampu menderma dari segi kewangan, orang ramai masih boleh berkongsi maklumat, memupuk kesedaran dan menggalakkan anggota keluarga dan sahabat handai untuk menderma, katanya ketika melancarkan platform rasmi Pay & Go eDonation dan majlis menandatangani perjanjian kerjasama dengan PBSMM Bahagian Sarawak di sini hari.

Fatimah berkata, kerana masyarakat sekarang hidup dalam era digital, cara berkomunikasi, mengusahakan perniagaan, membuat pembayaran dan mendapatkan perkhidmatan turut berubah.

Majlis pelancaran Pay & Go eDonation itu, katanya, menandakan satu langkah penting dalam membawa teknologi, khidmat kemasyarakatan dan semangat memberi secara lebih mudah kepada orang ramai.

Cara masyarakat menyumbang kepada kebajikan dan kemanusian kebiasaan sentiasa berubah dan pelancaran Pay & Go eDonation mencerminkan perubahan itu, tegas beliau.

Bagaimanapun, beliau berkata, dengan perkembangan teknologi dan urusan digital, apa yang lebih penting ialah keupayaan untuk membantu yang lain dengan cara lebih mudah.

Fatimah menzahirkan penghargaan kepada Pengerusi PBSMM Bahagian Sarawak, Datuk Patinggi Tan Sri Dr. George Chan Hong Nam atas kejayaan mewujudkan perkongsian inovatif dengan Pay & Go Sdn Bhd untuk memudah orang ramai menderma.

Beliau berharap lebih banyak syarikat korporat akan menyusuli langkah PBSMM Bahagian Sarawak dalam memudahkan urusan orang ramai menderma untuk tujuan kebajikan.