MUKAH: Ketua UMNO Bahagian Sepang, Noorazali Said diminta membuat permohonan maaf secara terbuka kepada komuniti Kristian berhubung penggunaan analogi membabitkan paderi dan biarawati dalam ucapannya pada Perhimpunan Agung UMNO 2026, baru-baru ini.
Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Tellian, Royston Valentine berkata, beliau amat kecewa dan tidak berpuas hati dengan penggunaan analogi berkenaan kerana menyentuh agama, institusi keagamaan serta golongan yang memegang kedudukan suci dalam agama.
Beliau berkata, walaupun analogi mungkin digunakan bagi menyampaikan mesej politik supaya lebih menarik dan mudah difahami, tidak semua perkara wajar dijadikan bahan jenaka, terutama apabila melibatkan sensitiviti agama.
“Dalam konteks Malaysia yang berbilang kaum dan agama, kita mempunyai tanggungjawab besar memastikan kebebasan beragama serta rasa hormat terhadap agama lain sentiasa dipelihara,” katanya dalam kenyataan media, semalam.
Menurutnya, sebagai wakil rakyat beragama Kristian dari Sarawak, beliau memandang perkara itu serius kerana Sarawak mempunyai sejarah panjang dalam memelihara keharmonian antara masyarakat berbeza agama dan kepercayaan.
Katanya, perbezaan ideologi, pandangan dan pendirian politik adalah perkara biasa, namun agama dan kepercayaan rakyat tidak seharusnya dijadikan bahan jenaka atau modal meraih sokongan politik.
“Saya tidak berminat memanjangkan polemik ini atau menjadikannya pertelingkahan antara parti, namun terdapat garis yang perlu dihormati bersama iaitu jangan menyentuh kesucian dan sensitiviti mana-mana agama semata-mata untuk menguatkan hujah politik,” katanya.
Sehubungan itu, Royston meminta Noorazli membuat permohonan maaf secara terbuka kepada komuniti Kristian berhubung ucapan berkenaan, sambil menegaskan permohonan maaf bukan tanda kelemahan, sebaliknya tanda kematangan dan kebertanggungjawaban.
“Kita tidak mahu budaya politik Malaysia bergerak ke arah menggunakan agama sebagai bahan sindiran, jenaka atau serangan. Sebaliknya, kita perlu membina budaya politik yang lebih matang, beradab dan menghormati kepelbagaian,” katanya.
Beliau sehubungan itu menggesa semua pihak menghormati agama dan kepercayaan demi keharmonian serta perpaduan Malaysia, lebih-lebih lagi menjelang sambutan Hari Malaysia.
