Peruntukan RM90 juta untuk rumah ibadat agama-agama lain tahun ini

KUCHING: Kerajaan Sarawak sudah meluluskan keseluruhan sebanyak RM685 juta melalui Unit Hal Ehwal Agama-Agama Lain (UNIFOR) sejak ditubuh pada 2017 sehingga kini.

Premier Sarawak, Datuk Patinggi Tan Sri Abang Johari Tun Openg berkata dari jumlah itu, sebanyak RM565 juta untuk pembinaan, penyelenggaraan dan naik taraf rumah ibadat agama-agama lain dan RM120 juta untuk pembangunan berterusan sekolah-sekolah mubaligh.

“Pada 2026, Kerajaan Sarawak sekali lagi
memperuntukkan RM120 juta kepada UNIFOR. Daripada jumlah tersebut, RM90 juta untuk rumah ibadat agama-agama lain,” katanya.

Beliau berkata demikian dalam ucapannya diwakili Timbalan Premier, Datuk Amar Douglas Uggah di Majlis Kesyukuran Agama-agama Lain sempena Sambutan Perayaan Hari Malaysia Peringkat Kebangsaan 2026 di sini, malam tadi.

Abang Johari berkata, selebihnya sebanyak RM30 juta untuk sekolah-sekolah mubaligh; dan ini termasuk tambahan RM10 juta khusus bagi projek Sains, Teknologi, Kejuruteraan, dan Matematik (STEM).

Beliau berkata bagi fasa pertama tahun ini sahaja, sebanyak RM34,879,500 telah diluluskan kepada 148 projek rumah ibadat agama-agama lain di seluruh Sarawak.

“Peruntukan ini bukan semata-mata mengenai bangunan. Ini adalah satu pelaburan dalam komuniti,” tambahnya.

Selain itu, katanya salah satu nikmat yang dimiliki di Sarawak ialah kebebasan untuk mengamalkan agama masing-masing dalam suasana aman dan harmoni.

“Kerajaan Sarawak akan terus menghormati dan melindungi kebebasan ini. Namun, kebebasan datang bersama tanggungjawab,” katanya.

Menurutnya setiap agama mengajar masyarakat tentang belas kasihan, keamanan, menghormati jiran dan mengambil berat terhadap masyarakat dan nilai-nilai inilah yang perlu terus menjadi asas kehidupan.