MUKAH: Premier Sarawak, Datuk Patinggi Tan Sri Abang Johari Tun Openg hari ini menyantuni masyarakat Mukah menerusi aktiviti jalan santai sejauh dua kilometer (km) yang menjadi antara Program Sarawakku Sayang (SKS) 2026.
Beliau bersama tetamu lain memulakan aktiviti berjalan kaki menuju ke Gerai Kopi Market Dana atau lebih dikenali sebagai Stabak Mukah.
Turut serta ialah Setiausaha Kerajaan Sarawak, Datuk Amar Mohamad Abu Bakar Marzuki, Menteri Pembangunan Wanita, Kanak-Kanak dan Kesejahteraan Komuniti Sarawak, Dato Sri Fatimah Abdullah, Timbalan Menteri di Jabatan Premier Sarawak (Hal Ehwal Korporat, Penerangan dan UKAS), Datuk Abdullah Saidol serta Timbalan Menteri Perancangan Bandar, Pentadbiran Tanah dan Alam Sekitar, Datuk Len Talif Salleh.
Hadir sama, Ahli Parlimen Mukah, Dato Hanifah Hajar Taib, Ahli Parlimen Tanjong Manis, Dato Ir Yusuf Abdul Wahab, Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Balingian, Abdul Yakub Arbi dan ADUN Tellian, Royston Valentine.
Aktiviti santai itu bukan sahaja menyemarakkan amalan gaya hidup sihat, malah memberi peluang kepada Premier Sarawak mendekati dan berinteraksi dengan masyarakat setempat sepanjang perjalanan.
Sebaik tiba di Stabak Mukah, Premier Sarawak bersarapan bersama masyarakat setempat dalam suasana santai dan mesra.
Kesempatan itu turut membuka ruang interaksi secara lebih dekat antara kepimpinan kerajaan dengan penduduk, sekali gus mengeratkan hubungan serta mendengar secara langsung suara masyarakat setempat.
Aktiviti berkenaan merupakan antara pengisian SKS 2026 Bahagian Mukah yang menghimpunkan pelbagai program kemasyarakatan, pameran serta perkhidmatan agensi kerajaan dalam usaha mendekatkan penyampaian perkhidmatan kepada rakyat.
Premier Sarawak seterusnya dijadual menyempurnakan perasmian Program SKS 2026 Bahagian Mukah di Dataran Pehin Setia Raja pagi ini.
