DARO: Lembaga Sungai-Sungai Sarawak (LSS) melaksanakan 21 program melibatkan seramai 2,750 peserta di seluruh Sarawak sehingga 30 September lalu.
Pengerusi LSS, Dr Safiee Ahmad berkata, program itu bertujuan mempergiat usaha meningkatkan kesedaran keselamatan dan kebersihan sungai.
Malah, katanya program itu merupakan pendekatan berterusan mendidik masyarakat, khususnya komuniti yang bergantung pada sungai bagi urusan harian dan sumber pendapatan.
“Setiap pengguna sungai hendaklah memastikan perahu berada dalam keadaan baik, tidak membawa muatan berlebihan dan memakai jaket keselamatan ketika berada di atas perahu, walaupun perjalanan yang dilakukan dekat atau sudah menjadi kebiasaan,” katanya.
Beliau berkata demikian ketika berucap pada Program Kesedaran Keselamatan dan Kebersihan Sungai di Daro.
Pada program itu, sebanyak 42 jaket keselamatan diserahkan kepada nelayan Kampung Tengah bagi menggalakkan penggunaan peralatan keselamatan ketika menjalankan aktiviti di sungai dan laut.
Dr Safiee yang juga Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Daro berharap sumbangan itu dimanfaatkan sepenuhnya oleh penerima serta mengingatkan pemakaian jaket keselamatan perlu dijadikan amalan harian dan bukan hanya ketika program kesedaran atau operasi penguatkuasaan dijalankan.
Aktiviti gotong-royong yang disertai 60 penduduk kampung dan peserta diadakan sempena program itu.
