SONG: Projek Pembangunan Semula Sekolah Daif di Negeri Sarawak di bawah Peruntukan RM1 Bilion (Fasa Kedua), di Sekolah Kebangsaan (SK) Nanga Temalat dirasmikan Menteri Kerja Raya, Dato’ Sri Alexander Nanta Linggi, hari ini.
Projek bernilai RM10 juta itu merupakan Pakej 10, merangkumi pembinaan sebuah blok pentadbiran empat tingkat, dua blok berek Jenis C, sebuah asrama lelaki, sebuah asrama perempuan dan sebuah rumah pam.
Menurut kenyataan media Cawangan Komunikasi Korporat, JKR Sarawak, projek itu bertujuan menyediakan persekitaran pembelajaran dan pengajaran serta penginapan selesa, selamat dan kondusif.
Projek ini juga memberi manfaat kepada masyarakat melalui peningkatan kemudahan pendidikan di luar bandar.
“JKR Sarawak akan terus komited melaksanakan pembangunan infrastruktur berkualiti bagi meningkatkan kemudahan awam dan kesejahteraan masyarakat di seluruh Sarawak,” kata kenyataan itu.
Selepas majlis perasmian, rombongan turut meninjau fasiliti baharu bagi melihat kemudahan yang disediakan untuk warga sekolah.
Majlis tersebut turut dihadiri wakil Jabatan Pendidikan Negeri Sarawak dan Pejabat Pendidikan Daerah Song.
