SEMATAN: Pembangunan sosioekonomi di kawasan ini mendapat sokongan positif dengan pelancaran projek Anjung Usahawan dan Taman Perindustrian Sematan Fasa Satu, disusuli penyerahan Surat Hak Milik Tanah Seksyen 18 Kanun Tanah Sarawak.
Timbalan Premier Sarawak Datuk Amar Awang Tengah Ali Hasan berkata, kemudahan itu bagi merancakkan aktiviti perniagaan, perindustrian serta membuka peluang pekerjaan kepada penduduk tempatan.
“Penyediaan kemudahan infrastruktur fizikal ini merupakan langkah strategik dalam merancakkan aktiviti perdagangan dan perindustrian di kawasan Sematan,” katanya.
Beliau berkata demikian pada majlis penyerahan dan pelancaran projek berkenaan di sini, hari ini.
Turut hadir ialah Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Tanjong Datu, Azizul Annuar Adenan; Pengerusi Lembaga Amanah Kebajikan Islam Lundu (LAKIL), Datuk Amar Jamilah Anu; Penasihat (PMKS) MINTRED, Dato Sri Mohd Naroden Majais; serta ADUN Jepak, Iskandar Turkee.
Azizul berkata, pembangunan ini bukan sahaja menyediakan prasarana fizikal, malah sebagai platform kepada masyarakat, khususnya belia dan bakal usahawan.
Ia untuk memulakan serta mengembangkan perniagaan demi meningkatkan pendapatan dan taraf hidup keluarga.
Dalam pada itu, Kerajaan Sarawak melalui Jabatan Tanah dan Survei (JTS) Bahagian Kuching turut menyerahkan 610 Surat Hak Milik Tanah (SHT) di bawah Seksyen 18 Kanun Tanah Sarawak kepada 546 penerima yang melibatkan jumlah keluasan 468.20 hektar.
