Fazzrudin serah keputusan pencalonan semula kepada pimpinan Parti PBB

KUCHING: Penyandang kerusi Dewan Undangan Negeri (DUN) Tupong, Datuk Fazzrudin Abdul Rahman menyerahkan sepenuhnya keputusan mengenai pencalonan semulanya pada Pilihan Raya Negeri (PRN) Sarawak Ke-13 kepada pucuk pimpinan Parti Pesaka Bumiputera Bersatu (PBB).

Timbalan Setiausaha Agung Parti PBB itu berkata, beliau memberikan kepercayaan penuh kepada kepimpinan parti untuk menentukan perkara berkenaan, sambil menegaskan komitmennya untuk terus memperkukuh jentera parti di kawasan Tupong.

“Kami di N6 Tupong akan memberi komitmen sepenuhnya,” katanya menerusi hantaran Facebook selepas mempengerusikan Mesyuarat Khas Parti PBB Cawangan N6 Tupong di sebuah hotel di sini, semalam.

Fazzrudin yang juga Ketua Setiausaha Politik kepada Premier Sarawak berkata, persiapan menghadapi PRN perlu memberikan tumpuan kepada pengukuhan organisasi, penyelarasan gerak kerja serta tanggungjawab ahli parti dalam mendekati masyarakat.

Menurutnya, kekuatan Parti PBB bukan hanya bergantung kepada kepimpinan tertinggi, sebaliknya turut ditentukan oleh komitmen ahli di peringkat akar umbi yang perlu sentiasa turun padang dan mendengar permasalahan rakyat.

Beliau turut mengingatkan bahawa khidmat kepada masyarakat tidak seharusnya bersifat bermusim atau hanya diberikan perhatian menjelang pilihan raya.

Sebaliknya katanya, perlu menjadi budaya berterusan bagi memastikan kepentingan rakyat sentiasa diutamakan.