I-CATS kini dijenamakan sebagai Sarawak Tun Openg University of Technology

KUCHING: Kolej Universiti i-CATS kini dijenamakan sebagai Sarawak Tun Openg University of Technology (TAHOTECH), sekali gus mengukuhkan peranan insititusi pendidikan tinggi (IPT) itu di Sarawak.

Penjenamaan semula i-CATS diumumkan oleh Premier Sarawak, Datuk Patinggi Tan Sri Abang Johari Tun Openg di sini hari ini.

Pengenalan logo dan identiti korporat baharu universiti berkenaan turut diperkenal pada majlis itu.

Ia mencerminkan aspirasi Sarawak untuk memperkasa modal insan melalui penyelidikan, inovasi dan penguasaan teknologi sebagai pemacu pertumbuhan ekonomi negeri.

Penjenamaan semula itu susulan pengiktirafan i-CATS sebagai universiti penuh oleh Kementerian Pendidikan Tinggi (KPT), 20 Oktober lalu.

Menurut Premier, perubahan tersebut bukan sekadar melibatkan nama dan identiti korporat, sebaliknya mencerminkan hala tuju strategik universiti dalam melahirkan generasi berilmu, berkemahiran tinggi dan berdaya saing bagi memenuhi keperluan industri serta ekonomi masa hadapan.

“Kita mahu universiti ini menjadi institusi pendidikan tinggi yang bukan sahaja unggul dalam melahirkan graduan berilmu dan berkemahiran tinggi, tetapi juga membentuk modal insan holistik dan menyeluruh yang berintegriti, berakhlak mulia serta menjunjung tinggi nilai adab dalam menuntut dan mengembangkan ilmu.

“Kemajuan Sarawak perlu dipacu oleh generasi yang bukan sahaja menguasai ilmu pengetahuan dan teknologi, tetapi turut memiliki kematangan pemikiran, kekuatan sahsiah serta tanggungjawab terhadap masyarakat.

“Keseimbangan inilah yang menjadi asas dalam melahirkan generasi berdaya saing, berwawasan dan berkeupayaan menerajui pembangunan Sarawak secara mampan,” katanya dalam kenyataan media i-CATS hari ini.

Seiring dengan transformasi itu, TAHOTECH dipilih sebagai singkatan rasmi universiti berkenaan yang melambangkan komitmen untuk muncul sebagai institusi pendidikan tinggi unggul dalam pembangunan bakat, penyelidikan berimpak tinggi dan inovasi teknologi termaju.

Langkah tersebut juga selaras dengan aspirasi Strategi Pembangunan Pasca Covid-19 2030 (PCDS 2030) yang memberikan penekanan kepada pembangunan modal insan, penguasaan teknologi dan ekonomi berasaskan pengetahuan.

Logo baharu TAHOTECH menggabungkan elemen warisan budaya Sarawak, sumber asli, sains dan teknologi moden, sekali gus mencerminkan identiti institusi yang berteraskan nilai tempatan serta berorientasikan kemajuan global. – UKAS