Graduan IKMAS perlu kuasai ilmu, berbakti kepada masyarakat

ASAJAYA: Pendekatan dakwah perlu terus berkembang seiring perubahan zaman dengan menekankan nilai keterbukaan, saling menghormati dan persefahaman, kata Menteri Pelancongan, Industri Kreatif dan Seni Persembahan Sarawak, Dato Sri Abdul Karim Rahman Hamzah.

Beliau berkata, langkah itu bagi memperkukuh perpaduan serta keharmonian masyarakat berbilang kaum dan agama.

Katanya, perkembangan teknologi digital dan pengaruh hiburan masa kini menuntut pendekatan dakwah yang lebih kreatif, berhemah dan bersesuaian dengan keperluan masyarakat, khususnya generasi muda.

“Menyampaikan ilmu dan nilai agama bukan sahaja berteraskan pengetahuan, malah harus diterjemahkan melalui akhlak terpuji, integriti dan teladan yang baik dalam kehidupan seharian,” katanya.

Beliau berkata demikian ketika Majlis Penutupan Program Menyemai Bakti Institut Kemahiran Islam Malaysia Sarawak (IKMAS) Kali Ke-25 di sini hari ini.

Beliau yang juga Menteri Belia, Sukan dan Pembangunan Usahawan Sarawak menegaskan keunikan Sarawak sebagai negeri yang kaya dengan kepelbagaian kaum, agama dan budaya perlu terus dipelihara melalui sikap menghormati serta keprihatinan terhadap keperluan semua lapisan masyarakat.

Beliau mengingatkan bakal graduan IKMAS supaya menguasai ilmu agama dan mengaplikasikan pengetahuan melalui khidmat bakti dan hubungan baik dengan masyarakat.

Penganjuran selama 10 hari dengan kerjasama Jabatan Kemajuan Islam Malaysia (JAKIM) itu melibatkan 56 pelajar IKMAS yang ditempatkan bersama 35 keluarga angkat di sekitar Asajaya dan Sadong Jaya. – UKAS