KUCHING: Sarawak bakal memiliki Pusat Kepakaran Penjagaan Bersepadu (NICE) sebagai sebahagian daripada usaha Kementerian Pembangunan Wanita, Keluarga dan Masyarakat (KPWKM) meningkatkan perkhidmatan serta kepakaran dalam sektor penjagaan.
Menterinya, Dato’ Sri Nancy Shukri berkata, dua pusat berkenaan sedang dirancang untuk diwujudkan masing-masing di Sarawak dan Pulau Pinang.
“Inisiatif ini disokong melalui latihan kepada 8,000 tenaga kerja penjagaan warga emas.
“Ia menerusi Perbadanan Pembangunan Sumber Manusia (HRD Corp), selain latihan kemahiran khusus kepada 3,000 penjaga baharu orang kelainan upaya (OKU),” katanya.
Beliau berkata demikian ketika berucap pada Malam Media KPWKM @ Sarawak di Star On Stage (SOS) di sini, malam ini.
Dalam perkembangan berkaitan kesejahteraan masyarakat, Nancy berkata, kementeriannya turut mempergiatkan Kempen ‘Awak OK Tak?’ bagi menggalakkan orang ramai lebih peka terhadap kesejahteraan emosi individu di sekeliling mereka.
Kempen tersebut ujarnya, merupakan antara tiga kempen utama KPWKM, selain Kempen Hentikan Keganasan Rumah Tangga bertemakan ‘Berani Bertindak #JanganDiam’ serta Kempen Sektor Penjagaan bertemakan ‘Ilmu Menjaga, Kasih Dirasa’ dan #KitaSamaJaga.
Jelasnya, pelaksanaan inisiatif berkenaan merupakan sebahagian daripada usaha KPWKM meningkatkan kesejahteraan keluarga dan komuniti menerusi perkhidmatan penjagaan serta kesedaran sosial. -NORAIDA ABDUL KASSIM/JIWA BAKTI
