BINTULU: Polis Sarawak sentiasa bersiap siaga menghadapi sebarang kemungkinan bencana banjir menjelang Pilihan Raya Umum (PRU DUN) Sarawak Ke-13.
Pemangku Pesuruhjaya Polis Sarawak, DCP Saifullizan Ishak berkata ini bagi memastikan keselamatan masyarakat terjamin, terutama ketika berdepan keadaan cuaca tidak menentu menjelang pilihan raya nanti.
“Memang setiap masa kita bersedia untuk menghadapi sebarang kemungkinan, tambahan pula kita sekarang sedang membuat persiapan bagi menghadapi pilihan raya kali ini,” katanya.
Beliau berkata demikian selepas menyempurnakan acara pelepasan peserta Bintulu Cop Run 2.0 di perkarangan Pasar Raya Farley Bintulu, di sini, pagi tadi.
Saifullizan berkata, pihaknya juga sentiasa memantau perkembangan semasa serta bersedia menggerakkan anggota dan aset bersesuaian bagi menghadapi sebarang situasi kecemasan.
“Ini termasuk membantu operasi menyelamat dan pemindahan mangsa sekiranya berlaku banjir,” tambahnya.
Selain itu beliau berkata, seramai 2,600 peserta menyertai Bintulu Cop Run 2.0 yang menjadi antara platform mendekatkan pasukan polis dengan masyarakat menerusi aktiviti riadah dan interaksi secara santai.
Menurutnya, program tersebut bukan sahaja menggalakkan gaya hidup sihat, malah membuka ruang kepada masyarakat untuk berinteraksi secara lebih dekat dengan anggota polis.
Katanya, ini sekali gus memperkukuh hubungan dan kepercayaan antara kedua-dua pihak di samping memperkukuh hubungan strategik dengan media dan masyarakat serta mewujudkan saluran komunikasi lebih terbuka dalam menyampaikan maklumat berkaitan keselamatan komuniti.
