KUCHING: Keberkesanan pelaksanaan Rancangan Malaysia Ke-13 menjadi penentu pencapaian aspirasi pembangunan Sarawak menjelang 2030.
Premier Sarawak, Datuk Patinggi Tan Sri Abang Johari Tun Openg berkata, setiap kementerian, jabatan dan agensi perlu memastikan perancangan pembangunan diterjemahkan kepada hasil yang memberi manfaat secara langsung kepada rakyat.
“Kejayaan kita bukan sekadar diukur berdasarkan peruntukan dibelanjakan atau projek dilaksanakan, tetapi berdasarkan hasil dicapai dan manfaat dirasai oleh rakyat,” katanya ketika berucap pada sambutan Hari Perkhidmatan Awam (HPA) Sarawak 2026, di sini, hari ini.
Beliau berkata, setiap keutamaan pembangunan perlu disertakan sasaran jelas, tanggungjawab yang ditetapkan serta pemantauan berterusan bagi memastikan pelaksanaan berjalan lancar.
Dalam pada itu, beliau menekankan penggunaan teknologi digital dan kecerdasan buatan (AI) sebagai antara keupayaan penting untuk meningkatkan kecekapan pentadbiran serta mutu penyampaian perkhidmatan kerajaan.
Pelancaran Platform Infrastruktur AI Berdaulat Sarawak pada 17 Ogos lalu turut menjadi langkah penting dalam membangunkan keupayaan AI sendiri serta kawalan terhadap data dan sumber digital kerajaan.
“Teknologi mesti membantu penjawat awam bekerja dengan lebih cekap, membuat keputusan lebih baik dan memberikan nilai lebih besar kepada rakyat.
“Namun, tanggungjawab terhadap keputusan kerajaan mesti kekal pada pegawai yang diberi amanah,” tambahnya.
Sehubungan itu, peruntukan RM25 juta kepada Institut Kepimpinan Perkhidmatan Awam Sarawak menerusi Belanjawan 2027 mencerminkan komitmen kerajaan membangunkan kepimpinan dan kompetensi penjawat awam.
Abang Johari turut menegaskan keperluan membentuk budaya kerja berorientasikan hasil dengan setiap pegawai diberi keyakinan membuat keputusan dalam bidang kuasa masing-masing tanpa mengabaikan integriti dan akauntabiliti.
Beliau yakin keupayaan penjawat awam untuk menyesuaikan diri, berinovasi dan melaksanakan tanggungjawab dengan cekap mampu menentukan kejayaan agenda pembangunan Sarawak ke arah 2030.
