KUCHING: Majlis Tertinggi (MT) Parti Pesaka Bumiputera Bersatu (PBB) sebulat suara menyerahkan kepada Yang di-Pertua Parti, Datuk Patinggi Tan Sri Abang Johari Tun Openg untuk mengemukakan senarai calon-calon daripada parti itu yang akan bertanding pada Pilihan Raya Umum Dewan Undangan Negeri (PRU DUN) Sarawak ke-13.
Timbalan Yang di-Pertua Parti PBB, Datuk Amar Douglas Uggah Embas berkata, setakat ini parti belum dapat mengesahkan senarai calon yang akan diketengahkan.
Beliau yang juga Timbalan Premier berkata, semua kepimpinan parti memberikan sokongan dan mandat penuh kepada Premier Sarawak yang juga Pengerusi Gabungan Parti Sarawak (GPS) untuk membuat keputusan muktamad.
“Majlis Tertinggi Parti PBB memberi mandat penuh kepada Yang di-Pertua Parti untuk menyenarai dan mengumumkan calon daripada parti itu yang akan bertanding kelak,” katanya pada sidang media selepas mesyuarat Majlis Tertinggi Parti PBB yang dipengerusikan Premier di sini, hari ini.
Pada mesyuarat itu, katanya, Parti PBB menubuhkan 13 jawatankuasa untuk menyelaras segala persiapan menghadapi pilihan raya.
Uggah berkata, jawatankuasa berkenaan ialah sekretariat, perisikan, lawatan tetamu kenamaan, logistik dan udara, kewangan, keselamatan, manifesto dan perundangan.
Di bawah jawatankuasa berkenaan, sebanyak 13 jawatankuasa kecil turut ditubuhkan bagi mengendalikan pelbagai aspek persediaan, katanya.
Katanya, beliau telah diminta oleh GPS untuk menjadi Pengarah Pilihan Raya.
Menurut Uggah, jawatankuasa berkenaan turut melibatkan pemimpin parti komponen GPS iaitu PBB, PRS, PDP dan SUPP.
Uggah berkata,Jawatankuasa Pengurusan Bencana Negeri (JPBN) juga akan mengadakan perbincangan dengan Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR) berhubung keadaan cuaca di negeri ini dari semasa ke semasa.
JPBN katanya, akan berhubung dengan SPR apabila tarikh penamaan calon dan hari pengundian telah ditentukan.
“Mereka akan memberikan taklimat mengenai keadaan cuaca dan perkara berkaitan yang perlu diberikan perhatian,” tegas beliau.
