KUCHING: Belanjawan Sarawak berjumlah RM50.09 bilion mencerminkan komitmen Kerajaan Sarawak dalam melaksanakan pelbagai projek pembangunan untuk rakyat.
Naib Ketua Wanita Parti Pesaka Bumiputera Bersatu (PBB) merangkap Timbalan Menteri di Jabatan Premier Sarawak (Undang-Undang, MA63 dan Hubungan Negeri Persekutuan), Datuk Sharifah Hasidah Sayeed Aman Ghazali berkata, peruntukan itu diterjemahkan menerusi pelbagai kemudahan masyarakat termasuk rangkaian jalan raya, lebuh raya dan kemudahan pendidikan.
“Pelbagai keperluan masyarakat disuarakan melalui kerjasama kepimpinan di peringkat kampung, KMKK, ketua-ketua kaum serta kepimpinan parti sebelum kerajaan mengambil tindakan menerusi pelaksanaan projek pembangunan,” katanya.
Beliau berkata demikian ketika berucap pada Program Santai Bersama Wanita N7 Samariang, di sini, hari ini.
Majlis itu turut dihadiri Timbalan Perdana Menteri merangkap Ahli Parlimen Petra Jaya, Datuk Amar Fadillah Yusof.
Antara keutamaan pembangunan di kawasan itu termasuk penyediaan rumah mampu milik untuk golongan anak muda, selain meneruskan projek dan program yang telah dirancang, tambahnya.
Menurut beliau, pelaksanaan pembangunan di kawasan Samariang akan diteruskan sekiranya Gabungan Parti Sarawak (GPS) kembali mendapat mandat dalam Pilihan Raya Umum Dewan Undangan Negeri (PRU DUN) Sarawak Ke-13.
Beliau sehubungan itu, berharap Pergerakan Wanita Parti PBB N7 Samariang terus memainkan peranan mendekati masyarakat menerusi penganjuran pelbagai program komuniti.
