KUCHING: Unit Komunikasi Awam Sarawak (UKAS) akan membuka perkhidmatan Meja Bantuan (Helpdesk) bagi memudahkan pengamal media mendapatkan maklumat sepanjang tempoh Pilihan Raya Umum Dewan Undangan Negeri (PRU DUN) Sarawak Ke-13 pada 12 Disember ini.
Timbalan Pengarah I UKAS, Mohamed Faizal Shah Ali berkata, perkhidmatan berkenaan akan mula beroperasi pada 16 November hingga 11 Disember ini.
Menurutnya, inisiatif itu bertujuan membantu pengamal media memperoleh maklumat berkaitan pilihan raya dengan lebih mudah dan teratur.
“Antara maklumat yang disediakan termasuk profil penyandang kerusi DUN.
“Selain keputusan pilihan raya terdahulu serta maklumat calon yang bertanding selepas hari penamaan calon,” katanya.
Beliau berkata demikian ketika menyampaikan taklimat mengenai perkhidmatan Meja Bantuan sempena Bengkel NEWS360: Seni Penulisan Berita dan Laporan Khas untuk Televisyen, Radio dan Digital 2026 Zon Selatan di sebuah hotel di sini, hari ini.
Program anjuran UKAS itu berlangsung selama dua hari bermula hari ini hingga 10 November, melibatkan 45 peserta daripada pelbagai agensi media massa dan kerajaan.
Mohamed Faizal menjelaskan, perkhidmatan berkenaan turut menyalurkan maklumat berkaitan aktiviti calon sepanjang tempoh berkempen serta ramalan cuaca bagi membantu pengamal media merancang tugasan liputan.
“Pengamal media boleh menghubungi Meja Bantuan menerusi talian 082-514061.
“Perkhidmatan ini beroperasi setiap hari bermula 8.30 pagi hingga 5 petang dan disambung semula pada 6 petang hingga 10 malam,” ujarnya. – NORAIDA ABDUL KASSIM/JIWA BAKTI
