BINTULU: Kira-kira 32,000 penduduk di Bahagian Bintulu bakal menikmati manfaat daripada peningkatan jaringan perhubungan susulan perasmian Jambatan Batang Kemena (Sebauh) oleh Premier Sarawak, Datuk Patinggi Tan Sri Abang Johari Tun Openg.
Pembinaan jambatan sepanjang 728.56 meter itu bukan sahaja menyediakan laluan perhubungan lebih selesa dan selamat, malah menjadi pemangkin kepada pertumbuhan sosioekonomi menerusi peningkatan akses antara bandar dan luar bandar.
Projek bernilai RM122.998 juta yang dilaksanakan Jabatan Kerja Raya (JKR) Sarawak itu turut merangkumi pembinaan jalan penghubung, menjadikan keseluruhan jajaran projek sepanjang kira-kira 2.3 kilometer (km).
Jambatan dua lorong yang merentasi Batang Kemena itu dibina menggunakan kaedah Balanced Cantilever serta dilengkapi kemudahan jalan pendekat, sistem perparitan, lampu jalan, lampu navigasi dan kelengkapan keselamatan jalan raya.
Kemudahan itu turut menyediakan laluan alternatif lebih singkat dari Lapangan Terbang Bintulu ke Pekan Sebauh, sekali gus meningkatkan kecekapan perjalanan penduduk dan pengguna jalan raya.
Selain memudahkan pergerakan masyarakat, jambatan berkenaan dijangka memperkukuh akses kepada kawasan penempatan, kemudahan awam serta pusat aktiviti ekonomi di sekitar Sebauh.
Peningkatan jaringan perhubungan itu juga membuka peluang lebih luas kepada perkembangan sektor perdagangan, perkhidmatan dan pertanian, sekali gus memberi nilai tambah kepada kegiatan ekonomi masyarakat.
Jambatan berkenaan mula dibuka kepada pengguna jalan raya menerusi pembukaan awal pada 6 Disember 2025 sebelum majlis perasmian rasmi diadakan.
JKR Sarawak dalam kenyataan media berkata, projek itu merupakan satu lagi pencapaian penting kerajaan negeri dalam menyediakan infrastruktur jalan raya yang lebih selamat, cekap dan berdaya tahan.
Menurut kenyataan itu, pembangunan infrastruktur berkenaan mencerminkan komitmen berterusan kerajaan negeri untuk meningkatkan ketersambungan antara bandar dan luar bandar.
JKR Sarawak selaku agensi pelaksana turut menegaskan komitmennya memastikan setiap projek infrastruktur memenuhi keperluan rakyat, mengutamakan keselamatan serta kualiti pembinaan dan memberikan manfaat jangka panjang kepada masyarakat.
