Pembangunan Sebauh, Tatau dirancang, perluas kemajuan Bintulu

BINTULU: Kawasan Sebauh dan sebahagian Tatau akan dimasukkan dalam perancangan Pelan Induk Lembaga Kemajuan Bintulu (BDA) bagi memastikan pertumbuhan ekonomi turut dinikmati penduduk.

Premier Sarawak, Datuk Patinggi Tan Sri Abang Johari Tun Openg berkata, pendekatan secara bersepadu itu memastikan pembangunan infrastruktur, kemudahan asas dan kawasan penempatan dirancang lebih tersusun serta seiring dengan perkembangan pesat Bintulu sebagai pusat perindustrian.

Katanya, pembangunan Bintulu tidak seharusnya tertumpu di bandar semata-mata, sebaliknya perlu memberikan kesan limpahan ekonomi kepada kawasan berdekatan termasuk Sebauh dan Tatau.

“Maka perancangannya, untuk Lembaga Kemajuan Bintulu (BDA) termasuk rancangan di Sebauh dan Tatau, dari sudut itulah maka kita mempunyai Pelan Induk, BDA yang mengambil kira pembangunan Sebauh dan juga sebahagian daripada Tatau,” katanya.

Beliau berkata demikian semasa merasmikan Jambatan Batang Kemena, Sebauh di sini hari ini.

Dalam perkembangan berkaitan katanya, tiga lagi projek infrastruktur jalan raya turut diketengahkan menerusi simbolik penyerahan kelulusan projek yang disaksikan Premier Sarawak.

Projek berkenaan melibatkan pembinaan jalan baharu dari Pandan ke Ulu Binyo di Sebauh, Bintulu, selain menaik taraf bekas jalan pembalakan di Ulu Jelalong, Tubau, Sebauh serta di Muput-Penyarai, Daerah Tatau.

Majlis itu turut merangkumi simbolik penyerahan projek penyelenggaraan jalan balak di bawah inisiatif RCEA, yang memberi penekanan kepada usaha meningkatkan kemudahan perhubungan di kawasan pedalaman.

Kesemua inisiatif berkenaan memperlihatkan pendekatan pembangunan bersepadu Kerajaan Sarawak dalam memastikan kemajuan infrastruktur tidak hanya tertumpu di bandar sebaliknya turut diperluas ke kawasan luar bandar.

Dalam pada itu, Premier menambah, perasmian Jambatan Batang Kemena, Sebauh menjadi satu lagi pemangkin penting kepada pembangunan infrastruktur dan pertumbuhan ekonomi di kawasan Sebauh, Tatau serta kawasan sekitarnya.

Turut hadir, Timbalan Premier Sarawak merangkap Menteri Infrastruktur dan Pembangunan Pelabuhan Sarawak, Datuk Amar Douglas Uggah Embas, Speaker Dewan Undangan Negeri Sarawak, Tan Sri Datuk Amar Mohamad Asfia Awang Nassar, Menteri Pelancongan, Seni dan Budaya Malaysia, Dato Sri Tiong King Sing, Menteri Industri Makanan, Komoditi dan Pembangunan Wilayah Sarawak, Dato Sri Dr. Stephen Rundi Utom, Setiausaha Kerajaan Sarawak, Datuk Amar Mohamad Abu Bakar Marzuki dan Residen Bahagian Bintulu, Datu Nyurak Keti. – UKAS