KUCHING: Konvoi Pemuda Parti Pesaka Bumiputera Bersatu (PBB) antara pendekatan parti menggerakkan jentera akar umbi serta menyemarakkan semangat perjuangan ahli
bagi menghadapi Pilihan Raya Umum Dewan Undangan Negeri (PRU DUN) Sarawak.
Ketuanya, Datuk Martin Ben berkata, penganjuran berkenaan bukan sekadar aktiviti biasa, sebaliknya usaha memperkukuh gerakan parti menjelang pilihan raya.
Selain itu, pelbagai aktiviti gerakan Pemuda turut diadakan bagi membantu Parti PBB dan Gabungan Parti Sarawak (GPS) menghadapi pilihan raya nanti.
“Kita turut mempertimbangkan menganjurkan konvoi serupa di beberapa zon lain yang menjadi lokasi penganjuran Konvensyen Parti PBB.
“Bagaimanapun, ia tertakluk kepada kesesuaian masa dan jadual program parti,” katanya ketika ditemui, semalam.
Terdahulu, beliau menghadiri pelancaran Jentera Pilihan Raya Armada Pemuda Parti PBB di Dewan Kampung Matang Batu 10, di sini oleh Premier Sarawak Datuk Patinggi Tan Sri Abang Johari Tun Openg, semalam.
Pelancaran konvoi bermotosikal disempurnakan Timbalan Perdana Menteri, Datuk Amar Fadillah Yusof.
Lebih 100 Pergerakan Pemuda menyertai konvoi berkenaan yang turut disertai Premier sehingga ke Kampung Melayu Stakan.
Sementara itu, Martin menjelaskan, penganjuran konvoi berkenaan boleh dipertimbangkan untuk diadakan mengikut zon dengan penglibatan ahli-ahli peringkat cawangan.
Beliau berkata, pendekatan itu penting bagi meningkatkan semangat perjuangan serta memastikan ahli parti terus aktif menggerakkan jentera di peringkat akar umbi.
“Perkara paling penting ialah sokongan, kerjasama dan komitmen semua pihak dalam menjayakan gerakan ini.
“Kita mahu semua rakan seperjuangan, khususnya golongan muda dalam Pemuda terus bersatu hati dan berganding bahu dalam menghadapi pilihan raya,” katanya.
Beliau berharap semua ahli dapat memainkan peranan masing-masing dalam memastikan kesiapsiagaan jentera parti menghadapi pilihan raya nanti.
