Abdul Karim menang tanpa tanding DUN Asajaya

SAMARAHAN: Calon Gabungan Parti Sarawak (GPS) Dewan Undangan Negeri (DUN) N15 Asajaya, Dato Sri Abdul Karim Rahman Hamzah menang tanpa bertanding pada Pilihan Raya Umum Dewan Undangan Negeri (PRU DUN) Sarawak Ke-13.

Pegawai Pengurus Pilihan Raya Asajaya, Jerry Zannuddin Bidin mengesahkan perkara tersebut selepas hanya menerima satu sahaja kertas penamaan calon sepanjang proses penyerahan kertas penamaan calon di buka.

Ketika ditemui media Abdul Karim berkata, kemenangan ini merupakan kali pertama dalam sejarah beliau sejak kali pertama bertanding di DUN Asajaya.

Abdul Karim, calon Parti Pesaka Bumiputera Bersatu (PBB) dicadang oleh Sapawi Samat dan disokong oleh Mahani Sahari.

Beliau tiba di pusat penamaan calon di Dewan Tan Sri Datuk Amar Haji Abang Ikhwan Zaini pada jam 9 pagi.

Kira-kira 1,000 penyokong GPS DUN Asajaya mengiringi Abdul Karim ke pusat penamaan calon dengan laungan ‘Hidup GPS’ dan ‘Utamakan Sarawak’ sepanjang perarakan tersebut. – IQHWAN HAMDAN / JIWA BAKTI