KUCHING: Calon Gabungan Parti Sarawak (GPS) bagi DUN N.7 Samariang, Datuk Sharifah Hasidah Sayeed Aman Ghazali menzahirkan rasa syukur selepas diumumkan menang tanpa bertanding pada Pilihan Raya Umum Dewan Undangan Negeri (PRU DUN) Sarawak Ke-13, hari ini.
Beliau turut merakamkan penghargaan kepada Premier Sarawak atas kepercayaan yang diberikan, selain berterima kasih kepada keluarga, jentera pilihan raya dan seluruh penyokongnya.
“Insya-Allah, selepas ini kita akan meneruskan agenda pembangunan di Samariang dan terus menyantuni masyarakat.
“Kita sebagai satu pasukan akan berusaha bersungguh-sungguh untuk memastikan agenda pembangunan di Samariang diteruskan,” katanya.
Kemenangan Hasidah diumum oleh Pegawai Pengurus Pilihan Raya Samariang, Rudzaimeir Malek sebaik sahaja proses penamaan calon tamat dan SPR hanya menerima satu borang pencalonansl sepanjang tempoh tersebut.
Hasidah 57, berjaya mempertahankan kerusi tersebut untuk penggal kelima selepas menjadi wakil rakyat kawasan berkenaan sejak 2006.
Beliau merupakan lulusan Sarjana Muda Undang-Undang dari Universiti Islam Antarabangsa Malaysia (UIAM) dan mempunyai latar belakang profesional sebagai peguam.
Penglibatannya dalam politik bermula pada 2002 menerusi Parti Pesaka Bumiputera Bersatu Parti (PBB) sebagai Timbalan Bendahari Ranting Kampung Malaysia Jaya.
Beliau kini merupakan Timbalan Ketua Pergerakan Wanita Parti PBB serta memegang portfolio Timbalan Menteri di Jabatan Premier Sarawak (Undang-Undang, MA63 dan Hubungan Negeri-Persekutuan).
Pada Pilihan Raya Negeri (PRN) Sarawak Ke-12 2021, Sharifah Hasidah memperoleh 11,354 undi dengan majoriti 10,283 undi.
Sepanjang penglibatannya dalam politik, beliau mencatatkan empat kemenangan berturut-turut pada pilihan raya negeri tahun 2006, 2011, 2016 dan 2021.
