KUCHING: PETROS bakal membeli gas asli dihasilkan di Sarawak dari semua pengeluar gas huluan mulai 1 Julai depan.
Menteri Utiliti dan Telekomunikasi Dato Sri Julaihi Narawi berkata, PETROS akan menjual gas itu kepada semua pembeli gas hiliran termasuk loji pemprosesan Gas Asli Cecair (LNG) di Sarawak.
“Ia membolehkan pembekalan LNG secara berterusan oleh pihak loji pemprosesan bagi memenuhi kontrak sedia ada dengan pembeli LNG luar negara seperti di Jepun dan Korea.
“Ia juga akan memastikan tiada kerugian kewangan yang akan ditanggung oleh pelabur,” katanya dalam ucapan penggulungan kementeriannya pada persidang Dewan Undangan Negeri (DUN) Sarawak, hari ini.
Julaihi menambah, setakat April 2024, PETROSNiaga telah menukar silinder kuning kepada silinder LPG PETROS.
Katanya, kira-kira 520,000 silinder daripada pengguna dan proses penukaran secara ‘one-to-one’ tanpa caj tambahan masih lagi berterusan.
“Kini terdapat kira-kira 1.8 juta silinder LPG bersubsidi di Sarawak.
“PETROS akan menjalankan usaha berterusan untuk meningkatkan penggunaan gas asli di Sarawak selaras dengan Sarawak Gas Roadmap (SGR).
“SGR merangkumi empat hab strategik di Kuching, Bintulu, Samalaju dan Miri melalui beberapa inisiatif awal seperti Stesen Janakuasa Combined Cycle Gas Turbine (CCGT) berkapasiti 50 Megawat (MW) di Miri yang telah mendapat kelulusan Final Investment Decision (FID).
Selain itu Bintulu-Samalaju Gas Pipeline sepanjang 65 kilometer (km) bagi membekalkan gas asli dari Bintulu ke kawasan Perindustrian Samalaju (SIP) dan Stesen Janakuasa CCGT Sarawak Energy di Samalaju berkapasiti 1,500 MW yang kini dalam peringkat penilaian tender,” katanya.
