KUCHING: Pelbagai perkara terutama membabitkan kewangan perlu diteliti sebelum pelaksanaan dasar pendidikan tinggi percuma untuk anak Sarawak yang bakal dilaksanakan pada 2026.
Menteri Pendidikan, Inovasi dan Pembangunan Bakat Datuk Seri Roland Sagah Wee Inn berkata, ia susulan pelaksanaan dasar itu perlu mengambil kira kedudukan kewangan negeri serta lain-lain perbelanjaan sebelum dilaksanakan.
“Kita bukan sekadar melihat yuran pendidikan, kita juga perlu melihat kepada infrastruktur, bilangan ahli akademik diperlukan, infrastuktur dan kebajikan pelajar…jadi ia mengambil masa,” katanya pada sidang media di Dewan Undangan Negeri (DUN), di sini hari ini.
Pada masa sama kata Roland, kementeriannya akan mengkaji untuk menawarkan pendidikan percuma beberapa jurusan yang ditawarkan di universiti mengambil kira kebolehpasaran pekerjaan jurusan tersebut.
Berdasarkan dasar yang telah dirangka, Sarawak memerlukan pengetahuan saintifik dan teknikal yang merupakan keperluan utama ketika ini.
“Ia tidak bermakna kita tidak memerlukan kursus yang lain, kita juga memerlukan doktor; individu yang boleh menjana pendapatan; mengira dan mengurus kewangan seperti akauntan dan banyak lagi.
“Sebab itu kita memerlukan masa untuk mengkaji perkara ini. Kita tidak mahu graduan ini tanpa peluang untuk bekerja berdasarkan kehendak pasaran,’’ ujarnya.
