KUCHING: Kerajaan Sarawak bakal menjalankan projek baik pulih lapan sekolah daif di negeri ini menggunakan dana kerajaan negeri terlebih dahulu.
Menteri Pendidikan, Inovasi dan Pembangunan Bakat Datuk Seri Roland Sagah Wee Inn berkata, sebanyak RM5 juta dana diperuntukkan bagi pelaksanaan projek baik pulih di setiap sekolah tersebut.
“Antara sekolah yang dipilih ialah SMK Agama Sibu, SK Batu Lintang Sri Aman; SK Sungai Bulu Senangeh, Asajaya; SK Gumpey Gedong; SK Pelaman Sidunuk dan SK Patung di Serian serta SK Rambungan Lundu,” katanya.
Beliau berkata demikian semasa Perbahasan Penggulungan kementeriannya pada persidangan Dewan Undangan Negeri (DUN) Sarawak, di sini hari ini.
Sementara itu kata ADUN Tarat terbabit, bermula hari ini hingga 16 Mei depan, wakil dari Unit Koordinasi Pelaksanaan (ICU) Jabatan Perdana Menteri (JPM); Jabatan Pendidikan Negeri Sarawak (JPNS); Jabatan Kerja Raya (JKR) Sarawk dan lain-lain agensi akan menjalankan lawatan ke sekolah-sekolah berkenaan.
“Justeru, saya berharap alternatif model pelaksanaan kerja baik pulih dapat dipercepatkan dan mendatangkan hasil yanh mungkin kemudiannya dapat ditiru di kawasan yang lain.
“Berhubung perkara berkaitan dan permohonan untuk sekolah baharu, kementeriannya telah mengambil maklum akan perkara tersebut.
“Kami akan mengambil pendekatan yang perlu untuk membantu dan akan berkoordinasi dengan pihak berwajib dari Kerajaan Persekutuan untuk mempercepatkan dan menangani isu tersebut,” katanya.
