MIRI: Suasana hiba dan pilu menyelubungi upacara pengebumian jasad mantan Yang di-Pertua Dewan Negara, Senator Datuk Mutang Tagal di Tanah Perkuburan Fairy Park Miri Memorial hari ini.
Figura masyarakat Lun Bawang itu selamat disemadikan pada jam 3 petang dengan dihadiri
ahli-ahli keluarga, kenamaan serta sanak saudara yang memberi penghormatan terakhir.
Terdahulu, upacara penghormatan terakhir kepada mendiang dilakukan di Gereja BEM Canada Hill pada jam 10.30 pagi.
Hadir sama ialah isterinya, Datin Ho May Leng dan ketiga-tiga anaknya Rining Tagal, Saran Tagal dan Bian Tagal, bapa mendiang Tagal Paran serta ahli-ahli keluarga yang lain.
Turut hadir Duta Besar Republik Azerbaijan ke Malaysia Irfan Davudov dan Timbalan Menteri di Jabatan Premier Sarawak (Buruh, Imigresen & Pemantauan Projek) Datuk Gerawat Gala.
Jasad mendiang dibawa pulang menggunakan pesawat khas Tentera Udara Diraja Malaysia (TUDM) dari Pangkalan Udara Subang dibawa ke Gereja Sidang Injil Borneo (SIB) Jalan Lapangan Terbang, Miri bagi upacara penghormatan terakhir.
Mutang,70, menghembuskan nafas terakhir di Institut Jantung Negara (IJN) pada jam 11.46 pagi Jumaat lalu.
