KUCHING: Pengerusi Parti Tindakan Demokratik (DAP) Sarawak Chong Chieng Jen diingatkan tidak menimbulkan persepsi yang mengelirukan pelbagai pihak.
Ketua Setiausaha Politik kepada Premier Sarawak Fazzrudin Abdul Rahman berkata, Chong disifatkan tidak konsisten dalam menyuarakan pendapat.
Beliau yang juga Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Tupong
dalam kenyataannya berkata, beliau agak terkejut dengan hujah Chong yang mendakwa dirinya dibuli untuk tunduk dan tidak dapat menyuarakan apa-apa.
“Saya ingin mengingatkan Chong bahawa beliau diundi untuk bercakap benar dan tidak mencipta persepsi yang mungkin mengelirukan ahli dewan.
“Saya masih ingat, Chong memberikan penghormatan yang mengharukan terhadap Allahyarham Tun Pehin Sri Abdul Taib Mahmud pada Februari lalu dengan menyifatkan Taib telah meletakkan asas kukuh untuk Kerajaan Sarawak hari ini menggerakkan misi ke arah masa depan yang lebih cerah.
“Bagaimanapun, apabila usul dibentangkan dalam nada yang serupa dengan kenyataannya sendiri, bukan sahaja Chong enggan menyokongnya malah beliau bersikap tidak hormat,” katanya hari ini.
Beliau yang juga Ahli Majlis Tertinggi Parti Pesaka Bumiputera Bersatu (PBB) menyifatkan Chong mempunyai pandangan yang salah tentang demokrasi serta tidak memahami tanggungjawab yang digalas.
