KUCHING: Seramai 3.92 juta pelancong melawat Sarawak pada 2023 dan menjana pendapatan RM9.99 bilion iaitu meningkat 101.41 peratus, kata Menteri Pelancongan, Industri Kreatif dan Seni Persembahan, Dato Sri Abdul Karim Rahman Hamzah.
Beliau berkata, jumlah kedatangan pelancong itu meningkat 93.82 peratus berbanding tempoh sama 2022 yang menyumbang kira-kira 7.11 peratus kepada Keluaran Dalam Negara Kasar (KDNK) Sarawak.
Kedatangan pelancong ke Sarawak itu adalah kira-kira 20 peratus daripada jumlah pelancong datang ke Malaysia pada 2023, katanya semasa menggulung perbahasan bagi kementeriannya pada sidang Dewan Undangan Negeri (DUN) di sini.
Karim menegaskan, bagi 2024, kementeriannya menganggarkan empat juta pelancong dengan menjana pendapatan RM10.19 juta dan menyumbang 7.25 peratus kepada KDNK Sarawak.
Dari Januari hingga April 2024, beliau berkata, kedatangan pelancong ke Sarawak menunjukkan peningkatan 25.46 peratus iaitu melonjak daripada 1.3 juta orang kepada 1.62 juta orang dengan menjana pendapatan RM4.17 bilion berbanding tempoh sama 2023.
Beliau menegaskan, kementeriannya meramalkan industri pelancongan di negeri ini akan pulih sepanjang 2024 berdasarkan kedatangan semula pelancong tempatan dan asing.
Menjelang akhir 2024, industri pelancongan dijangka mencapai 90 peratus tahap sebelum pandemik sejajar dengan ramalan Barometer Pelancongan Dunia Pertubuhan Pelancongan Bangsa-bangsa Bersatu (UNTO) dengan kadar pemulihan 85 peratus pada 2023, katanya.
Mengenai program Sarawak – Malaysia Rumah Kedua Ku (S-MM2H), beliau berkata, program itu membenarkan pelancong asing bernilai tinggi yang memenuhi kriteria tinggal di Sarawak dengan visa masuk berganda.
“Kementerian akan terus meningkatkan keperluan dan peraturan melalui kelulusan kabinet untuk melindungi kepentingan Sarawak sambil menarik pelancong bernilai tinggi,” tegas beliau.
Setakat ini, tambahnya, seramai 2,462 peserta telah diluluskan sejak 2007 dan 10 negara teratas adalah China (340), United Kingdom (335), Taiwan (246), Hong Kong (240), Amerika Syarikat (184), Singapura (182), Korea Selatan (157), Australia (114), Jepun (114) dan Indonesia (113).
