KUCHING: Kerajaan Persekutuan telah menyuntik dana sebanyak RM50 juta bagi penganjuran temasya Sukan Malaysia (SUKMA) dan Para SUKMA XXI Sarawak 2024.
Perkara itu dimaklumkan oleh Menteri Belia, Sukan dan Pembangunan Usahawan Sarawak, Dato Sri Abdul Karim Rahman Hamzah pada sidang media selepas mempengerusikan Mesyuarat Jawatankuasa Induk, SUKMA XXI Sarawak, semalam.
Terdahulu, Abdul Karim dimaklumkan berhubung peruntukan itu oleh Ketua Setiausaha Kementerian Belia dan Sukan Malaysia Ts Dr Nagulendran Kangayatkarasu semasa mesyuarat berkenaan.
“Sumbangan Kerajaan Pusat untuk sukan SUKMA dan Para SUKMA adalah sebanyak RM50 juta,” katanya.
Dalam pada itu, Abdul Karim memberitahu beliau berpuas hati dengan persiapan bagi penganjuran SUKMA XXI Sarawak 2024.
Katanya, kesemua agensi-agensi negeri mahupun persekutuan telah memberikan komitmen tinggi bagi mempersiapkan temasya dwitahunan itu.
Hadir sama Menteri Pembangunan Wanita, Kanak-kanak dan Kesejahteraan Komuniti Sarawak, Dato Sri Fatimah Abdullah, Timbalan-Timbalan Menteri Belia, Sukan dan Pembangunan Usahawan Dato Gerald Rentap Jabu dan Datuk Dr Ripin Lamat,
Timbalan Setiausaha Kerajaan Sarawak (Operasi) merangkap Ketua Pegawai Eksekutif SUKMA XXI Sarawak 2024, Datu Hii Chang Kee dan pegawai-pegawai kerajaan Negeri dan Persekutuan lain.
SUKMA Ke-21 akan berlangsung dari 17 hingga 24 Ogos 2024 mempertandingkan sebanyak 37 sukan membabitkan 488 acara.
Ia akan dilangsungkan di sembilan bahagian iaitu Kuching, Sibu, Bintulu, Miri, Mukah, Sri Aman, Betong, Samarahan dan Serian.
Manakala Para SUKMA XXI Sarawak 2024 akan diadakan dari 22 hingga 28 September di Kuching dengan mempertandingkan 10 sukan.