KUCHING: Keputusan sama ada acara Sepak Takraw Wanita Regu Berpasukan diterus atau digugurkan pada Sukan Malaysia (SUKMA) Ke-21 Sarawak akan diketahui Khamis ini.
Menteri Belia, Sukan Dan Pembangunan Usahawan, Dato Sri Abdul Karim Rahman Hamzah berkata, perkara itu akan diputuskan selepas Mesyuarat Jawatankuasa SUKMA Peringkat Kebangsaan pada 18 Julai ini Majlis Sukan Negara, Bukit Jalil.
Katanya, setakat ini hanya lima negeri yang mengesahkan penyertaan iaitu Selangor, Perak, Pulau Pinang, Sabah dan Sarawak.
Katanya, syarat untuk membolehkan mana-mana acara dipertandingkan adalah penyertaan minimum enam negeri.
“Namun, pada 18 Julai ini mesyuarat SUKMA Peringkat Kebangsaan diadakan untuk memutuskan sama ada acara tersebut akan dikembalikan atau digugurkan susulan tidak mencukupi.
“Lima negeri sudah mendaftar dan hanya memerlukan satu negeri sahaja untuk diputuskan untuk memenuhi syarat nanti,” katanya.
Beliau berkata demikian selepas mempengerusikan Mesyuarat Jawatankuasa Induk SUKMA XXI Sarawak 2024 di sini, hari ini.
Setakat hari ini, penyertaan untuk acara SUKMA sebanyak 487, namun jika sepak takraw dimasukkan, jumlahnya akan kembali menjadi 488.
“Kita menunggu keputusan permohonan ini. Saya faham bahawa lima negeri ini, atlet-atlet mereka dari Semenanjung telah membeli tiket dan membuat persiapan.
“Jika acara ini digugurkan, mereka pasti kecewa kerana telah membuat persiapan selama bertahun-tahun atau berbulan-bulan untuk menyertai sukan ini,” katanya.
Terdahulu Timbalan Setiausaha Kerajaan Sarawak (Operasi) Datu Hii Chang Kee telah membentangkan persiapan semua 25 Jawatankuasa Kerja terlibat bagi memperhalusi persiapan penganjuran temasya dwitahunan itu.
Pada majlis sama, Abdul Karim menunjukkan pingat yang akan menjadi rebutan 15 kontinjen yang bertanding nanti.
