BETONG: Pemilik tanah yang terjejas akibat dua projek pembinaan jalan baharu di Betong akan dibayar pampasan secara seadil.
Timbalan Premier Sarawak, Datuk Amar Douglas Uggah Embas berkata, Kerajaan Sarawak memastikan pampasan akan diagihkan secara adil kepada pemilik tanah yang terjejas akibat projek pembangunan.
Katanya, pemilik tanah akan diberi pampasan sekiranya kerajaan memerlukan tanah untuk projek pembangunan, sekali gus mengesahkan dasar Kerajaan Gabungan Parti Sarawak (GPS) mengelak rampasan tanah.
“Pertamanya, jalan dari Saka, Betong ke Spaoh dan Sekolah Kebangsaan (SK) Paku Central berharga RM136 juta. Jalan ini akan menaik taraf rangkaian jalan sedia ada di sekitar kawasan Lapangan Terbang Bebuling Spaoh untuk perjalanan yang lebih lancar.
“Kedua, ialah Jalan Ulu Paku / Ulu Kota / Pakan sepanjang 33.2 kilometer (km) dengan kos RM250 juta. Ini adalah satu lagi segmen pakej Jalan Batang Kedua,” katanya.
Beloau berucap demikian pada Majlis Penyerahan Pampasan Tanah di Bazar Betong, semalam.
Tambah Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Bukit Saban itu, jalan itu akan menawarkan laluan alternatif yang lebih pendek dari Betong melalui Ulu Paku, Spaoh ke Sibu, memintas kawasan Saratok dan Roban.
Turut hadir Timbalan Menteri Belia, Sukan dan Pembangunan Usahawan, Dato Gerald Rentap Jabu, ADUN Krian Friday Belik dan Residen Bahagian Betong Richard Michael Abunawas.
GAMBAR:UKAS
